Monday, June 16, 2014

2014) BERITA HARIAN 14/6/2014 - Rugi RM300,000 kalah judi internet


Headline: Rugi RM300,000 kalah judi internet
Publication: BH
Date of publication: Jun 14, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan yang mahu mendapatkan modal perniagaan, kerugian RM300,000 akibat kalah dalam perjudian internet.

Ali (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun mula terjebak dengan kegiatan perjudian internet pada awal tahun ini akibat terdesak untuk mendapatkan modal perniagaan.

"Syarikat saya berjaya mendapatkan kontrak bernilai jutaan ringgit, namun modal untuk menjalankan perniagaan itu tidak mencukupi.

"Cara paling cepat dan mudah ialah dengan berjudi dan saya harap sangat menang pertaruhan sehingga ratusan ribu untuk menampung keperluan perniagaan saya itu nanti.

"Malangnya, selepas mula berjudi hampir setiap hari saya kerugian ribuan ringgit.

Teruskan berjudi

"Saya teruskan juga akibat pengaruh daripada pihak premis perjudian yang meyakinkan saya akan menang besar jika nilai wang pertaruhan besar.

"Saya kemudian ditawarkan khidmat ceti kafe siber dan mula meminjam bermula daripada RM50,000 hinggalah mencecah ratusan ribu.

"Saya gagal menjelaskan pinjaman dalam waktu ditetapkan menyebabkan hutang saya terus bertambah," katanya kepada BH.

Ali antara ratusan orang, termasuk golongan profesional dan kakitangan kerajaan yang dikatakan kerugian beratus ribu ringgit akibat gila judi internet yang disediakan kafe siber.

Keluarga porak-peranda

Berikutan kerugian yang dialami, akhirnya Ali terpaksa menjual perniagaannya, diisytihar bankrap dan keluarganya porak-peranda setelah dua bulan diabaikan selepas gian berjudi.

"Judi menyebabkan saya kehilangan segala-galanya dan saya percaya ramai lagi yang tertipu dengan pertaruhan merugikan ini seperti saya," katanya.

Ali adalah antara 60 orang yang meminta bantuan khidmat nasihat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi menyelesaikan masalah hutangnya dengan ceti kafe siber berkenaan pada Mac lalu.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...