Monday, June 2, 2014

1985) BERITA HARIAN 2/6/2014 - Syor wujud Akta Halal lindung pengguna Islam



Headline: Syor wujud Akta Halal lindung pengguna Islam
Publication: BH
Date of publication: Jun 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018

Kuala Lumpur: Akta Halal khusus bagi melindungi pengguna Islam boleh dilaksana walaupun wujud pertembungan dalam pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, berkata ia berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan penyeragaman tugas dibuat membabitkan agensi Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagaimanapun katanya, kajian mengenai pertembungan bidang kuasa itu perlu diperinci bagi mengelakkan percanggahan, di samping mencari penyelesaian untuk dimuktamadkan sebelum dibentang kepada Dewan Rakyat.

"JAKIM sendiri sudah mengusulkan perkara berkenaan ke pengetahuan Jabatan Peguam Negara dan kajian mengenai akta itu juga giat dijalankan bahagian perundangan dan syariah mereka (JAKIM).

"Masalah dihadapi hanya dari segi pembahagian kuasa kerana Islam di bawah bidang kuasa negeri, sementara penubuhan sesuatu akta tertakluk kepada persekutuan, tetapi ia (Akta Halal) tidak mustahil diwujudkan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengakui, walaupun sukar dan mengambil sedikit masa, namun sekiranya Akta Halal dapat direalisasikan, ia akan memberi manfaat serta perlindungan kepada pengguna Islam, terutama membabitkan isu halal.

Beri kuasa kepada JAKIM

Katanya, JAKIM juga akan mempunyai kuasa lebih luas bukan saja sebagai penguat kuasa semata-mata, namun turut terbabit dalam mengendali keseluruhan kes pendakwaan di mahkamah.

"Sekarang ini, jika ada kes membabitkan isu halal, JAKIM sekadar bertindak sebagai penguat kuasa mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, tetapi pendakwaan masih dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).

"Saya juga menyokong dan berpandangan supaya tugas penguat kuasa dan pendakwaan (berkaitan isu halal ini) diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa JAKIM," katanya.

Cadangan penubuhan Akta Halal mula diperdebat semula selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa ia dilaksana segera susulan isu penemuan DNA babi dalam coklat baru-baru ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, menegaskan ketiadaan akta seperti itu mengakibatkan banyak keraguan timbul dalam proses pengeluaran produk dan makanan halal termasuk dalam isu coklat itu, selain memastikan keupayaan JAKIM dipertingkat.

Ketika pembentangan bajet pada 2009 juga, kerajaan memaklumkan bersetuju menggubal satu akta dikenali Akta Produk Halal bagi melindungi kepentingan pengguna Islam, memandangkan undang-undang sedia ada masih gagal melindungi atau menjamin sepenuhnya kepentingan mereka.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...