Monday, June 16, 2014

2020) SKMM tutup 500 laman web



SKMM tutup 500 laman web
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menutup 500 laman web dalam tempoh suku pertama tahun ini, termasuk sebahagiannya yang menganjurkan perjudian internet. 

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata tindakan menutup laman itu diambil kerana menyalahi pelbagai undang-undang negara, termasuk perjudian internet. 

“Tahun lalu sahaja, sebanyak lebih 2,000 laman web ditutup kerana melanggar undang-undang negara walaupun ia bukan satu kesalahan di negara pengendali utama. 
“Isu judi sebenarnya di bawah kawalan polis, manakala SKMM berfungsi sebagai membantu siasatan. 

“Agak sukar nak menganggarkan jumlah tepat laman atau talian judi yang wujud kerana mereka boleh ‘muncul’ begitu saja. 

“Perlu ditekankan juga bukan semua talian yang betul-betul menyediakan khidmat judi, ada juga laman judi yang dikesan sebenarnya beroperasi untuk mencuri maklumat peribadi orang ramai,” katanya kepada BH. 
Mohamed Sharil berkata, SKMM menghadapi kesukaran membendung kegiatan perjudian internet jika pelayan utamanya berada di luar negara. 
“Masalah yang dihadapi adalah pengendali ini di luar negara dan ia di luar bidang kuasa Malaysia. 

“Pada pendapat saya tabiat judi internet bukan boleh diselesaikan menggunakan undang-undang saja. Kawalan terbaik adalah bermula dari diri sendiri. 

“Nasihat kami pada orang ramai, jangan melayari laman judi kerana bukan sahaja merugikan tetapi lebih bahaya lagi, ada sindiket yang mungkin mengumpul maklumat peribadi anda. 

“Lebih serius lagi, maklumat kewangan seperti kad kredit atau butiran perbankan jatuh ke tangan sindiket,” katanya. 

Tindakan undang-undang 

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mencadangkan agar SKMM diberi mandat yang lebih luas untuk mengesan dan mengambil tindakan undang-undang secara terus terhadap pusat siber yang menganjurkan operasi perjudian internet ini. 

“Penguatkuasaan lebih mudah jika SKMM diberi kuasa untuk mengesan, menangkap pengguna siber, penganjur dan mana-mana individu yang menyalah guna talian untuk kegiatan seperti ini,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...