Wednesday, June 11, 2014

2006) UTUSAN ONLINE 10/6/2014 - Utusan Malaysia perlu sokongan


Utusan Malaysia perlu sokongan

KUALA LUMPUR 10 Jun - Akhbar Utusan Malaysia perlu diberi sokongan terutama dalam meneruskan agendanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan agama Islam dan raja-raja Melayu.
Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, akhbar ini telah secara adil memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat dan fakta tanpa menimbulkan kesangsian demi kepentingan rakyat dan negara.
"Utusan Malaysia telah melakukan kerja yang mulia. Saya rasa kata-kata dan kecaman pihak lain itu adalah keterlaluan terutama berhubung Rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas usaha Utusan Malaysia membawa suara pelbagai pihak dalam isu rang undang-undang baharu itu sejak awal meskipun mendapat kecaman dan tentangan banyak pihak yang menyatakan akhbar ini tidak sensitif terhadap institusi raja.
Semalam, Dewan Undangan Negeri Johor meluluskan rang undang-undang tersebut dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada Sultan Johor sebalik-nya peranan baginda tertakluk atas nasihat Menteri Besar.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kassim berkata, Utusan Malaysia adalah lidah rasmi orang Melayu yang telah memainkan peranan besar dan adil kepada semua pihak selama ini.
"Utusan Malaysia telah memainkan peranan yang betul dengan tidak menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kisah institusi raja. Pemberitaannya seimbang selain sejak dari dahulu memberikan maklumat tepat dan adil.
"Akhbar ini adalah landasan untuk orang Melayu kini dan masa depan. Sampai bila-bila kita memerlukan akhbar seperti ini untuk terus mempertahankan kedaulatan raja-raja dan Melayu," katanya.
Dalam pada itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan Utusan Malaysia yang sentiasa melaporkan mengenai penubuhan LPHJ dari semasa ke semasa telah memberi banyak manfaat kepada rakyat negara ini.
Kata beliau, sekiranya tiada akhbar dapat membantu kerajaan dan institusi raja dalam memberikan maklumat, pastinya rakyat akan terus dikelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa ingin mempolitikkan situasi sebenar.
"Jika isu ini tidak ditangani dengan bijaksana, dibimbangi akan ada kerosakan. Kita tidak mahu ada titik hitam dalam sejarah institusi raja dan Perlembagaan negara. Saya harap Utusan Malaysia dapat meneruskan semangat ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140611/dn_09/Utusan-Malaysia-perlu-sokongan#ixzz34IwXwmUB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...