Thursday, June 5, 2014

1996) UTUSAN ONLINE 5/6/2014 - Rakyat masih lagi ragu - PPIM


KUALA LUMPUR 4 Jun - Kenyataan Kementerian Kesihatan yang mengakui melakukan kesilapan berhubung penemuan asid deoksiribonukliek (DNA) babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury semalam, belum boleh meyakinkan pengguna-pengguna Islam mengenai status halal produk terbabit.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenyataan kementerian itu hanya menjurus kepada kesilapan teknikal iaitu tindakan seorang pegawai kementerian membocorkan laporan awal ujian tanpa memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu dan bukannya berkaitan kesilapan keputusan laporan terbabit.

“Rakyat masih lagi ragu walaupun Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan mengakui kesilapan, namun itu prosedur sahaja tetapi kita mengutamakan keputusan laporan asal tersebut.

“Apa yang saya lihat, pengendalian kes ini agak bercelaru dan saya harap pihak berkaitan mempunyai nada yang sama bagi mengembalikan keyakinan orang ramai," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung isu tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir membuat laporan sama ialah Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah; Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah; Presiden Ikatan Rak­yat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay dan aktivis PPIM, Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan mengakui melakukan kesilapan berhubung pengumuman penemuan DNA babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury termasuk tidak memaklumkan kepada Jakim terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kesilapan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal.

Sementara itu, Azwanddin berkata, pihaknya mendesak Jakim segera memberi penjelasan berhubung punca pencemaran coklat berkenaan bagi menjawab segala persoalan dan keraguan umat Islam mengenai perkara tersebut.
“Jika benar ada pencemaran, rakyat harus tahu bagaimana perkara itu berlaku. Penjelasan ini penting agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap Jakim," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bertemu dengan pegawai Kementerian Kesihatan yang mendedahkan maklumat laporan berkenaan dalam tempoh terdekat ini bagi membuktikan perkara tersebut adalah benar sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap kementerian itu dan Jakim.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140605/dn_11/Rakyat-masih-lagi-ragu---PPIM#ixzz33kMg75vf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...