Monday, June 2, 2014

1987)HARIAN METRO 2/6/2014 - Macam ada niat jahat


Headline: Macam ada niat jahat
Publication: HM
Date of publication: Jun 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Aisyah Sukaimi

Kuala Lumpur: "Ia tuduhan tidak berasas dan boleh menjatuhkan kredibiliti kami sebagai badan pensijilan halal di negara ini," tegas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.

Othman mengulas mengenai tuduhan seorang pengarah daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa kononnya JAKIM dan Kementerian Kesihatan seolah-olah akan 'memusing' laporan asal kepada yang baru atas dasar mahu menyelamatkan syarikat Cadbury daripada kerugian melalui laman sosial Facebook milik individu itu, Rabu lalu.

Menurut Othman, tindakan individu terbabit memuat naik status berkenaan dilihat seolah-olah mempunyai niat jahat terhadap JAKIM yang berperanan dalam hal ehwal pensijilan halal di Malaysia.

"Saya mengesahkan JAKIM ada membuat laporan polis semalam (kelmarin) berkaitan status individu berkenaan dan kita serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

"Kami terpaksa membuat laporan polis kerana kita lihat niat dia (individu terbabit) tidak baik dan cuba menjatuhkan kredibiliti pegawai JAKIM," katanya.

Kelmarin, JAKIM membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkaitan status individu itu di Facebook miliknya.

Sementara itu, Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Sheikh Abd Kareem S Khadaied mendedahkan mengenai isi kandungan pertemuan lapan NGO Islam bersama JAKIM, Jumaat lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu JAKIM menjelaskan bagaimana proses pensijilan halal dilakukan di negara ini.

"JAKIM menerangkan bagaimana proses pensijilan sebelum kajian di makmal serta pemantauan mengejut ke atas syarikat pemohon dilakukan. Semuanya diterangkan satu persatu tanpa ada sebarang keraguan.

"Dalam pertemuan itu juga, semua NGO dan JAKIM saling bertukar pendapat bagaimana mahu mengelak perkara sebegini daripada terjadi lagi," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jumaat lalu, JAKIM mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan lapan badan bukan Kerajaan (NGO) Islam bagi mendengar pandangan pihak berkenaan berhubung isu halal.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...