Tuesday, June 10, 2014

1999)BERITA HARIAN 8/6/2014 - Tuan Asmawi mahu beri sumbangan bukan gila glamor


Headline: Tuan Asmawi mahu beri sumbangan bukan gila glamor
Publication: BM
Date of publication: Jun 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 032
Byline / Author: Oleh Hasliza Hassan

Gila glamor? Terpulang.... Namun bagi juruhebah, pengacara, penyumbang suara latar, pernah berlakon teater serta telefilem dan kini menumpukan kepada rawatan Islam, Tuan Asmawi Tuan Umar, 39, ia adalah tugas yang mengizinkan beliau memberi sumbangan.

Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu berkata, apapun watak dipegang, ilmu perlu menjadi asas kerana keyakinan datang daripada ilmu dan ilmu juga yang membolehkan seseorang menguasai sesuatu perkara atau tugas dilakukan.

Melihat pada ketrampilan anak kelahiran Besut, Terengganu itu, bakat serta memiliki suara yang memikat pendengar dianugerahkan Allah SWT adalah kelebihan apabila dirinya menjadi pilihan untuk mengacara majlis dan menyumbang suara latar.

"Semua bergantung kepada niat dan jika ada kata saya nak glamor, itu hak mereka. Saya babitkan diri dalam semua bidang secara sederhana kerana saya ingin mencari bekal. Sekurang-kurangnya, dalam setiap sudut, saya ada sumbangan," katanya.

Katanya, menjadi hos program dakwah di radio membolehkan beliau berkongsi ilmu agama dengan pendengar yang ingin mendalami agama, sebagai pelakon yang diberi watak ustaz, beliau menghidupkan watak untuk memberi gambaran ustaz yang sebenarnya.

Sebagai pengacara baik untuk program televisyen atau apa juga majlis, sedaya mungkin beliau memastikan hasrat pihak yang mendapatkan khidmatnya disempurnakan sebaiknya. Begitu juga apabila diminta menyumbang suara latar untuk program agama.

Penghormatan baginya apabila diberi tanggungjawab membuat liputan kemangkatan Almarhum Yang di-Pertuan Agong ke-11, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj; isteri bekas Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood dan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Sentuh perasaan

Tuan Asmawi berkata, pengacara yang baik akan memastikan mereka mempunyai semua maklumat sepatutnya, tidak membuat kesilapan dan pada masa sama, mampu menyentuh perasaan penonton untuk menghayati sesuatu keadaan.

"Apabila membuat liputan majlis pengebumian Sultan atau orang kenamaan, kita mesti tahu protokol diraja. Pada masa sama, kita mesti boleh membawa penonton atau pendengar berasakan seolah-olah mereka turut berada di lokasi.

"Jika ada tetamu dari luar negara, sebutan nama hendaklah disebut dengan penuh dan betul, manakala negara diwakili juga mesti tepat.

Alhamdulillah, saya ingat semua nama Sultan di negara kita dan kebetulan sudah terbabit dengan dunia protokol agak lama, ini memudahkan tugas," katanya.

Mengimbau saat mula-mula wajahnya menghiasi kaca televisyen, ia tatkala berlintas langsung dari Masjid Negara mengulas khutbah solat Jumaat. Sebelum itu, beliau sudah menjadi penyampai di Radio 3, Kuala Terengganu dan Radio 1 Kuala Lumpur.

Ketika bertugas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), beliau menjadi penerbit serta penyampai rancangan radio terbitan JAKIM/RTM.

Tidak berhenti setakat itu, beliau pernah berlakon teater dan bakat lakonan dikembangkan dengan berlakon dalam telefilem Keringat Ayah yang disiarkan di TV Alhijrah. Beliau juga adalah orang penting dalam merealisasikan program realiti Imam Muda serta Ustazah Pilihan.

"Saya sudah melakukannya dan rasanya saya boleh bercerita mengenainya berdasarkan pengalaman. Sebagai orang agama, saya boleh bercakap mengenai lakonan kerana saya pernah berlakon, cerita bab seni juga saya tahu kerana ada pengalaman.

Seni dalam Islam

"Prinsip seni untuk untung saja, itu adalah salah. Prinsip seni dalam Islam ialah seni untuk masyarakat. Proses tarbiah ada jika kita mampu menghadirkan kesan yang kita harapkan daripada filem atau drama itu ke arah memperbaiki masyarakat.

"Idea Imam Muda timbul apabila saya melihat sukarnya institusi agama memenangi hati belia dan jemaah. Jadi kita perlu kaedah baharu, imam mesti ada kualiti, boleh berkomunikasi dengan jemaah dan paling penting membimbing umat kepada menghayati ajaran agama," katanya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan sedang menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang bahasa Arab memberitahu, masa terluang kini ditumpukan dengan aktiviti merawat menggunakan kaedah perubatan Islam.

Tuan Asmawi berkata, beliau sudah lama mempelajari perubatan nabi (attibun nabawi) di Terengganu tetapi tidak berpeluang mengamalkan kemahiran itu secara serius disebabkan kesibukan tugas hakiki di pejabat serta bidang pengacaraan.

Katanya, itu juga sebahagian sumbangan beliau kepada masyarakat khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan disebabkan gangguan dan berharap diberi kesembuhan dengan izin Allah SWT untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

"Apabila memberi khidmat rawatan ini, banyak yang saya pelajari dan ketahui. Antaranya, pengamal perubatan Islam perlu peka terhadap masalah serta keperluan masyarakat. Justeru, jangan mereka menekan masyarakat dengan mengenakan bayaran tinggi.

Rawat gangguan makhluk halus

"Ilmu yang ada perlu dikongsi dan tidak sewajarnya kita menggunakan kelebihan untuk kepentingan diri pada saat orang lain memang mengharapkan bantuan kita," katanya yang menjurus kepada merawat gangguan makhluk halus serta rawatan berkaitan herba.

Di samping perubatan Islam, Tuan Asmawi tetap aktif dalam bidang pengacaraan dan menyumbang suara latar. Beliau kini sedang mencari pihak yang berminat untuk menerbitkan program realiti baru juga berkonsepkan keagamaan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...