Thursday, June 12, 2014

2010) UTUSAN ONLINE 12/06/2014 - Akta Hasutan tidak perlu dimansuh


Akta Hasutan tidak perlu dimansuh

KUALA LUMPUR 11 Jun - Kerajaan didesak tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948 kerana tindakan itu hanya akan memenuhi kehendak pihak yang mempunyai agenda tertentu sehingga mampu mengancam ketenteraman negara.

Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan berkata, tiada sebab untuk kerajaan memansuhkan akta berkenaan yang bukan sahaja memelihara orang Melayu bahkan kaum lain.

Katanya, sehubungan itu lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat agar cadangan pemansuhan akta itu dikaji semula.

"Pemansuhan akta itu dan mewujudkan undang-undang baharu hanya membawa kepada perkara yang lebih buruk.

"Ini bukan sahaja membuka ruang kepada insiden seperti 13 Mei 1969 malah membolehkan empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan raja-raja, hak kewarganegaraan dan keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dipertikaikan oleh semua pihak yang akan mencetuskan ketidakharmonian," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mewakili lebih 100 NGO Melayu dan Islam antaranya Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Ikatan Muslim Malaysia (Isma) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut mendesak kerajaan tidak memansuhkan akta tersebut.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, pemansuhan Akta Hasutan belum diputuskan kerana masih di peringkat penelitian dari pelbagai aspek.

Beliau dipetik berkata, akta berkenaan masih sah selagi tidak ada akta baharu menggantikannya selain turut mengesahkan telah menerima tiga draf awal berkaitan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Perundingan dan Perlembagaan MPM, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, tidak menjadi kesalahan jika akta itu dipinda pada masa-masa tertentu demi kebaikan bersama namun bukan memansuhkannya.

"Akta itu tidak memerlukan undang-undang baharu kerana ia cukup kuat untuk melindungi rakyat cuma rakyat perlu faham Perlembagaan dengan jelas agar tidak lagi timbul isu-isu sensitif.

"Apabila mereka faham apa itu Perlembagaan, tidak timbul cadangan untuk memansuhkan akta ini," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140612/dn_09/Akta-Hasutan-tidak-perlu-dimansuh#ixzz34OC9Qt35
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...