Monday, June 16, 2014

2019) BERITA HARIAN 16/6/2014 - Pelbagai pihak bidas tindakan `Chow Jack'


Headline: Pelbagai pihak bidas tindakan `Chow Jack'
Publication: BH
Date of publication: Jun 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Pelbagai pihak membidas tindakan seorang lelaki yang dikenali sebagai `Chow Jack' memuat naik status berunsur penghinaan dalam Facebook terhadap Sultan, Perdana Menteri dan agama Islam.

Terbaru, lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam membuat laporan berhubung tindakan Chow Jack di Balai Polis Dang Wangi di sini, supaya tindakan tegas segera diambil terhadap individu terbabit.

Presiden Pertubuhan Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, berkata pihaknya bersama tujuh lagi pertubuhan lain memandang serius kejadian tindakan itu dan dikhuatiri boleh mendatangkan kemudaratan dalam kehidupan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

"Individu ini didapati menghina Sultan Perak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nabi Muhammad SAW dan umat Islam yang menyambut Ramadan dan Aidilfitri, sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Ambil tindakan

"Saya meminta PDRM (Polis Diraja Malaysia), SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) ambil tindakan dengan membawa individu yang ini ke muka pengadilan segera," katanya kepada media di sini, semalam.

Katanya, laporan yang turut disokong oleh 300 NGO di seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menyeru supaya semua rakyat Malaysia supaya mengelakkan sebarang tindakan seumpama itu kerana boleh mencetuskan ketegangan kaum.

NGO lain yang turut tampil, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerak Kerja Ayahanda Negeri Selangor (GEGAS), Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKMK) dan Persatuan Sosial Minda Pemikiran (PSNP).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan sudah menyerahkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, untuk tindakan susulan selepas laporan yang sama sebelum ini turut dibuat di Wangsa Maju.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...