Thursday, June 5, 2014

1995)utusan online 4/6/2014 - Tujuh NGO buat laporan polis siasat kenyataan mengelirukan isu DNA babi

Tujuh NGO buat laporan polis siasat kenyataan mengelirukan isu DNA babi

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan enam badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan mengelirukan pengguna umat Islam di negara ini tentang isu penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi dalam coklat Cadbury.

Enam NGO itu ialah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dan Gerak Kerja Ayahanda Negeri Selangor(GEGAS).

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah yang diiringi 30 anggota beberapa NGO yang lain, membuat laporan polis pada 11.30 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

``Semalam, Jakim mengesahkan dua sampel produk coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan Kimia, tidak mengandungi DNA babi.

``Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan `porcine' atau DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015,'' katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rani menggesa pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah menggesa KKM dan Jakim memberi penjelasan lebih baik kepada rakyat berhubung isu ini.

Semalam, KKM menyiasat pegawai yang membocorkan laporan awal ujian DNA babi dalam coklat Cadbury, sebelum ujian makmal kedua sempat dijalankan untuk mengesahkan kandungan itu.

Pada 2 Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) - disahkan tiada DNA babi.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang menggesa supaya KKM dan Jakim bekerjasama dalam memberi penjelasan yang telus berkaitan isu ini sebelum mengeluarkan fatwa yang sahih.

``Kita minta perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan minta para pengguna bersabar dalam isu ini,'' katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140604/je_04/Tujuh-NGO-buat-laporan-polis-siasat-kenyataan-mengelirukan-isu-DNA-babi#ixzz33jSCKSFa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...