Monday, June 2, 2014

1986) HARIAN METRO 2/6/2014 - 'Takkan kita tak boleh agak?'


Headline: 'Takkan kita tak boleh agak?'
Publication: HM
Date of publication: Jun 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 011


Kuala Lumpur: "Takkan tak boleh agak sesuatu apabila kita dapat tawaran harga kereta mewah jauh lebih rendah daripada pasaran. Mesti ada sesuatu tak kena.

"Logiknya kereta yang berharga ratusan ribu tak mungkin dijual lebih murah hampir 50 peratus dari sepatutnya kerana kita ada harga pasaran tetap selain nilai untung yang tidak jauh bezanya antara satu pengedar dengan pengedar yang lain. Ini yang pengguna perlu sedar," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata, prinsip mudah kepada pengguna untuk membuat keputusan sebelum membeli sesuatu barangan terutama membabitkan nilai ratusan ribu ringgit ialah melihat kepada logik harga terbabit dengan perbandingan nilai semasa.

Katanya, sebagai contoh, nilai kereta mewah pada harga biasa sekurang-kurangnya sekitar RM450,000 dan ada pihak mahu menjualnya pada harga RM150,000, jauh lebih rendah biarpun mengakui mempunyai dokumen asal serta mengikut peraturan.

"Cuba kita lihat bezanya terlebih dulu. Terlalu jauh jika dibandingkan dengan nilai yang paling murah iaitu pada sekitar RM400,000. Di situ, kita sudah boleh mengagak ada elemen penipuan yang mungkin cuba disembunyikan.

"Dalam hal ini, peniaga atau pun sindiket ini mengambil untung mudah, tapi yang menanggung kesan ialah pembeli yang tidak mengetahui kereta itu sebenarnya dibeli daripada sindiket yang memalsukan dokumen atau membuat pengubahsuaian geran," katanya.

Nadzim berkata, pihaknya menerima 20 aduan sejak tiga tahun lalu berhubung kes jual beli kereta mewah membabitkan kerugian jutaan ringgit dan modus operandi digunakan sindiket adalah sama iaitu melakukan pengubahsuaian geran atau memalsukan dokumen berkaitan.

"Mereka juga licik kerana tahu tiada siapa akan mempersoalkan aspek teknikal dan prosedur. Justeru saya nasihatkan pengguna merujuk pihak berkaitan terlebih dulu sebelum membuat sebarang pembayaran pembelian kenderaan," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...