KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan tiga doktor memfailkan semakan kehakiman terhadap tiga pihak antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu-isu Covid-19 di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Semakan secara sebelah pihak (ex-parte) difailkan oleh Bendahari PPIM, Tengku Faedzah Raja Fuad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr A Roland Victor dan Dr Sani Ashari selaku pemohon menerusi Tetuan Rizal Abdullah & Co.
Mereka menamakan kerajaan Malaysia, KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan, masing-masing responden pertama hingga ketiga.
Menerusi dokumen yang difailkan, pemohon memohon lima perintah antaranya mengarahkan responden ketiga untuk menjawab surat yang dihantar pada 20 Januari 2021 yang bertujuan mendapatkan penjelasan secara menyeluruh mengenai isu-isu berhubung Covid-19 di negara ini.
Semakan itu turut menyentuh mengenai kaedah pengenalpastian Covid-19 oleh KKM, pengendalian pembelian vaksin oleh Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia, penutupan dan had kehadiran masjid atau surau.
Mereka berkata, responden bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pemohon serta rakyat Malaysia berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam surat berkenaan.
“Alasan permohonan semakan kehakiman itu dibuat kerana pemohon merupakan pihak yang terkesan daripada tindakan responden terutamanya responden ketiga yang enggan menjawab pertanyaan yang dibangkitkan.
“Sudah menjadi hak sebagai individu dan rakyat Malaysia yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan (kebebasan asasi) terutamanya kebebasan untuk bercakap dan bersuara di bawah artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, pihaknya mengetengahkan isu itu kerana ia penting bagi mendapatkan jawapan daripada KKM.
Menurutnya, PPIM menghantar surat berkenaan Januari lalu tetapi sehingga ke hari ini, tiada respon diterima daripada KKM.
“KKM perlu beri jawapan kepada pihak yang tertanya-tanya, kita rasa ia bukan perkara yang luar biasa sebab kita hanya minta jawapan.
“Kita bukan minta duit atau buat tuntutan, kita hanya mahukan jawapan,” katanya ketika sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini pada Selasa.
Artikel oleh: Sinar Harian
PPIM, TIGA DOKTOR FAIL SEMAKAN KEHAKIMAN TERHADAP KKM
No comments:
Post a Comment