Monday, April 19, 2021

5575) SANTUNI ANAK YATIM BUKAN SEKADAR RUTIN RAMADAN - UTUSAN MALAYSIA - 18/04/2021

 


ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan tanggungjawab menyantuni anak yatim bukan sekadar rutin di bulan Ramadan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten.

Titah baginda, tugas sebagai ‘pengganti’ kepada ibu atau bapa bagi seseorang anak yatim itu hendaklah digalas oleh setiap anggota masyarakat mengikut kemampuan.

“Laksanakan tanggungjawab menyantuni anak yatim ini secara berterusan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengagihan sumbangan kepada anak-anak yatim di Masjid negeri Arau, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin yang diiringi oleh anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut Imam Besar Negeri, Ahmad Sirajuddin Abdul Sattar.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Seramai 48 anak yatim masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM250 hasil kutipan tabung khas anak yatim masjid negeri.

Selain itu, mereka menerima bantuan pek makanan sumbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Perlindungan dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM) melalui MAIPs.

Dalam masa sama, Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan aktiviti Ramadan MAIPs kepada semua pusat kebajikan anak yatim di negeri ini yang diwakili Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohammad Hazam Ismail.

Sumbangan aktiviti Ramadan itu adalah inisiatif MAIPs dalam menyemarakkan lagi aktiviti penghayatan sepanjang bulan puasa dalam kalangan penghuni rumah kebajikan anak yatim di negeri ini.

Sementara itu, Mohammad Hazam merakamkan penghargaan atas inisiatif MAIPs dalam menyantuni anak yatim selama ini melalui pelbagai program dan bantuan sepanjang tahun seperti bantuan persekolahan, bantuan serta merta institut pengajian tinggi (IPT) MAIPs, program turun padang bersama dan pelbagai lagi.

“Penglibatan pihak istana dan MAIPs melalui Program Jalinan Kasih Anak Yatim pada setiap tahun sentiasa dinanti-nantikan dan memberikan keceriaan kepada para penghuni rumah kebajikan anak yatim terbabit ketika menyambut lebaran,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

SANTUNI ANAK YATIM BUKAN SEKADAR RUTIN RAMADAN

https://www.utusan.com.my/berita/2021/04/santuni-anak-yatim-bukan-sekadar-rutin-ramadan/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL