Wednesday, April 21, 2021

5584) COVID-19: RAKYAT TAGIH PENJELASAN - KENYATAAN MEDIA PPIM - 20/04/2021

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai 40 petugas kesihatan yang masih dijangkiti wabak ini selepas melengkapi kedua-dua dos vaksin amat memeranjatkan dan memerlukan penjelasan yang tuntas.

Banyak lagi isu-isu mengenai COVID-19 yang masih memerlukan penerangan yang lanjut dari pihak-pihak berkuasa yang mengendalikan wabak ini, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.

Menurut Ketua Aktivitis PPIM, nadzimjohan@toqqi, “Jika persoalan-persoalan tidak berjawab, bagaimanakah kami ingin berdepan dengan mereka dan merungkai semua persoalan-persoalan ini?”

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima banyak aduan dari mereka yang telah mengalami kesan sampingan hasil daripada suntikan vaksin yang telah mereka perolehi daripada pihak kerajaan dan juga keberkesanan vaksin ini setelah diberikan kepada penerima barisan hadapan.

Pada 20 Januari 2021, secara rasminya, PPIM telah menghantar surat permohonan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya berhubung isu-isu terkini Covid-19 di Malaysia. Permohonan yang telah dikemukakan kepada KKM jelas merupakan sebuah gesaan agar tindakan serta penelitian berhubung kes ini perlu diberi perhatian secara menyeluruh demi kemaslahatan setiap lapisan masyarakat di Malaysia yang bagaikan terumbang-ambing keadaannya dalam era pandemik Covid-19 yang seakan-akan tidak berpenghujung. 

Pelbagai persoalan yang menjadi isu pokok tentang Covid-19 telah pun kami kemukakan, namun sehingga kini, sebarang kenyataan maklum balas tidak diberikan secara rasmi oleh pihak KKM sendiri.

PPIM bersama barisan peguam berhasrat melihat penyelesaian isu ini dari sudut peruntukan undang-undang bagi menggesa KKM supaya menyalurkan maklum balas secara rasmi mereka berhubung isu-isu terkini Covid-19 agar ianya tidak membimbangkan pihak yang terkena kesan sampingan vaksin, keberkesanannya dan memberikan keyakinan dan ketenangan fikiran kepada mereka yang belum memperolehi pelalian ini.

PPIM berharap agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih bersikap terbuka dan menerima setiap aduan yang telah dikemukakan dari pelbagai sudut dan membolehkan kita bersama-sama mencari formula yang mampu merungkai permasalahan ini. PPIM menggesa agar KKM dapat memberikan sebuah penjelasan rasmi berhubung isu-isu terkini

Covid-19 supaya ramai lagi nyawa tidak akan terkorban akibat daripada kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam profesi yang besar amanahnya ini.

Jika bukan KKM selaku petugas di barisan hadapan yang seharusnya memecahkan keresahan serta kebimbangan yang sedang membelenggu masyarakat dalam era pandemik ini, siapa lagi?



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...