Saturday, April 17, 2021

5560) ISU PUKUL PENGAWAL PERIBADI: PPIM BIMBANG CETUS RUSUHAN KAUM - SINAR HARIAN - 16/04/2021

 

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius kes majikan yang memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya kerana berpuasa yang dikhuatiri boleh menjadi punca tercetus rusuhan kaum.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan turut mengecam keras majikan terbabit yang bertindak di luar batasan kerana menghina agama Islam, perlembagaan sekali gus satu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Sehubungan itu, katanya, PPIM menggesa supaya tindakan tegas segera diambil terhadap majikan yang turut dipercayainya terlibat dalam kumpulan kongsi gelap susulan penemuan jongkong emas dan wang tunai asing bernilai jutaan ringgit pada Khamis.

“Kita rasa ini satu benda yang menarik perhatian semua. Ini sekarang, kalau lima tahun, 10 tahun lagi apa akan jadi kepada negara kerana (kejadian) ini tidak membawa kebaikan. Ada sesuatu yang salah sedang berlaku dengan sistem dalam negara kita.

"Saya berharap perkara ini yang terakhir kerana kami terima aduan daripada rakan-rakan kita di bawah sana, yang berada di lapangan yang cukup marah dan ada (antara mereka) yang hendak pergi serang, ini sangat tidak baik jika berlaku.

“Kita berharap perkara ini ditangani dengan sekeras-kerasnya supaya tidak lagi berlaku dan menjadi pengajaran kepada semua. Kalau ini tidak ditangani, ia boleh jadi rusuhan kaum dan kita tidak boleh terima, makna ini akan merosakkan semuanya (jika berlaku),” katanya.

Nadzim bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain ditemui pemberita pada sidang akhbar anjuran PPIM di Villa Puteri Kondominium di Jalan Tun Ismail di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nadzim juga meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador agar dapat menyelesaikan dakwaan dibuat majikan terbabit yang mengatakan mengenali beliau kerana ia menimbulkan persepsi nama beliau disalah guna untuk tujuan menakut-nakutkan orang.

“Dia (majikan terbabit) mendakwa kawan (kepada) IGP (Ketua Polis Negara), ini dakwa dia... maknanya IGP kena settlekan (selesaikan) dengan dia lah, jangan biar orang guna nama dia pasal ini juga kaedah yang dia guna menakutkan orang lain,” katanya lagi.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan, dua pengawal peribadi dipukul dengan rotan dan diacu pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya menunaikan puasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada sebuah kondominium di Jalan Pinang Kuala Lumpur.

Susulan itu, tiga lelaki direman lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada Khamis berhubung kes itu.


Artikel oleh: Sinar Harian

ISU PUKUL PENGAWAL PERIBADI: PPIM BIMBANG CETUS RUSUHAN KAUM

https://www.sinarharian.com.my/article/133865/BERITA/Nasional/Isu-pukul-pengawal-peribadi-PPIM-bimbang-cetus-rusuhan-kaum

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...