Kuala Lumpur – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merasa amat terkilan dan marah dengan tindakan yang telah dilakukan oleh individu terbabit. Tindakan memukul, merotan dan mengacu pistol kepada 2 orang pekerja yang sedang menjalani ibadah puasa adalah sangat tidak munasabah dan biadap.
Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum & bangsa termasuklah agama yang dianuti. Negara kita merdeka dengan kesepakatan antara kaum untuk hidup aman sejahtera tanpa mengira agama & bangsa. Wajarkah tindakan ini diambil oleh individu terbabit? Wajarkah perbuatan yang telah dibuat?
PPIM menentang keras terhadap tindakan ini yang secara tidak langsung telah mewujudkan kemarahan orang islam dan kami juga bimbang akan berlaku kemudaratan sekiranya tiada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa. Kami bimbang jika perbalahan antara kaum ini terjadi jika perkara ini tidak ditangani dengan segera. Apakah perlu anak-anak bangsa kita melihat sejarah 13 Mei berulang?
PPIM hari ini menggesa kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan keras dan melakukan siasatan menyeluruh terhadap perilaku yang tidak berperikemanusiaan ini. Siapa dalang yang melindungi individu terbabit sehingga berani melakukan perkara keji ini. PPIM akan berterusan membela hak dan maruah mereka yang ditindas. Masyarakat harus diberi peringatan dan menjadi pengajaran agar perkara ini tidak akan berulang lagi.
Dengan ini, PPIM berharap agar individu terbabit diambil tindakan dan diberikan hukuman setimpal supaya tiada lagi pihak yang berani mencetuskan isu keagamaan & perkauman seperti ini di masa hadapan. Sampai bila kita harus memperjudikan keamanan negara kita dengan sentimen keagamaan dari individu yang tidak bertanggungjawab seperti ini.
Perbuatan keji ini adalah satu percerobohan
serius terhadap sistem kepercayaan peribadi seseorang apatah lagi di negara
kita yang dikatakan sebagai sebuah negara demokrasi.
No comments:
Post a Comment