KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) mengambil tindakan tegas terhadap penularan video promosi aktiviti perjudian dengan sambutan hari raya.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan menegaskan, beliau sendiri telah memaklumkan perkara itu kepada menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah namun belum mendapat sebarang maklumat balas.
“Iklan raya itu (judi) pun saya pun tak tahu. Saya dah hantar kepada Datuk Saifuddin minta dia tengok. Setakat ini belum ada respon lagi.
“Kita takut benda ini tidak diambil secara serius. Saya harap Datuk Saifuddin dapat melihat perkara ini secara betul-betul serius,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPIM, hari ini.
Semalam, syarikat perjudian dalam talian dikesan memperhebatkan promosi kegiatan haram itu di media sosial sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam video lagu raya yang tular itu memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mana liriknya menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan ‘duit raya’.
Iklan yang dikeluarkan sebuah syarikat judi berjudul GDBet333 Hari Raya berdurasi dua minit itu turut dikecam kerana menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam.
Dalam pada itu, PPIM memandang serius sindiket perjudian dalam talian itu yang menyinggung sensitiviti dan menghina umat Islam untuk mengaut keuntungan.
“Kita memang cuba membanteras judi, pasal benda ini dia berjudi, kalah judi, pinjam ah long, kemudian mulalah cerai berai gaduh dia jadi begitu,” katanya lagi.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
ISU VIDEO RAYA JUDI: KITA TAKUT SAIFUDDIN TAK AMBIL SERIUS - PPIM
No comments:
Post a Comment