Thursday, February 16, 2017

3457) KPI khas atasi isu kos sara hidup - Utusan Online - 16/2/2017

           utusan1

KPI khas atasi isu kos sara hidup

SAUDARA PENGARANG, DIAKUI isu kos sara hidup yang menekan rakyat ketika ini tidak dapat dielakkan ekoran kesan daripada ketidaktentuan harga minyak global serta suasana ekonomi dunia yang tidak stabil. Keadaan itu sekali gus memberi kesan terhadap ekonomi negara. Lebih malang lagi apabila wujud pula pihak–pihak tidak bertanggungjawab yang turut ingin mengambil peluang untuk meningkatkan harga jualan barangan serta perkhidmatan mereka dengan cara yang tidak sepatutnya sehingga membebankan golongan pengguna di negara kita. Oleh yang demikian cadangan bagi mewujudkan satu petunjuk prestasi utama (KPI) khusus bagi mengatasi isu kos sara hidup dalam negara perlu dilihat sebagai usaha positif bagi mengurangkan masalah tersebut. Perkara yang sama juga pernah dicadangkan oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa tahun lalu dalam mendepani cabaran kos sara hidup masa kini. Justeru, cadangan yang telah dikemukakan itu seharusnya dinilai dengan serius serta dilaksanakan segera bagi melindungi rakyat daripada masalah kenaikan kos sara hidup. Melalui KPI berkenaan, agenda mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat akan menjadi salah satu agenda terpenting kerajaan lebih-lebih lagi langkah tersebut amat berkaitan kesejahteraan hidup rakyat. Pelbagai jenis petunjuk boleh dimasukkan dalam KPI khusus bagi memerangi atau mengatasi masalah kos hidup seperti yang telah dicadangkan seperti sasaran jangka pendek, sederhana, dan panjang oleh pihak–pihak yang berkaitan. Begitu juga dengan latar belakang penduduk, lokasi penempatan penduduk sama ada tinggal di bandar mahupun luar bandar selain menilai tahap pematuhan peniaga terhadap segala undang–undang dan peraturan sedia ada. Tujuannya adalah untuk memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati. KPI yang disyorkan ini turut mengambil kira penilaian tahap kepuasan golongan pengguna secara keseluruhannya dalam negara kita dari semasa ke semasa. Setiap daripadanya ini akan diukur bagi memastikan segala tindakan yang diambil berdasarkan KPI mampu membebaskan rakyat daripada dibelenggu isu kos sara hidup. DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW Universiti Sains Islam Malaysia Sumber Dari : Utusan http://www.utusan.com.my/rencana/forum/kpi-khas-atasi-isu-kos-sara-hidup-1.444937

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL