Wednesday, February 22, 2017

3497) BELA DIRI TANPA SENJATA - KOSMO - 22/2/2017

                kosmo 22.2.2017 kosmo 22.2.2017 2

SETELAH melihat pergerakan yang dilakukan oleh gurunya, Siti Huzaifah Abdul Razak, 33, dengan pantas membuka langkah untuk melakukan apa yang telah diperhatikan. Mempunyai tenaga persis seorang lelaki, gadis yang berketinggian sekitar 160 sentimeter itu berjaya menumbangkan rakan sepelatih menerusi pergerakan tersebut. “Saya baru sebulan mengikuti kelas bela diri ini. Pergerakan untuk mempertahankan diri dan melakukan pukulan sangat mudah difahami serta dilakukan,” jelasnya. Walaupun rata-rata rakan sepelatih yang lain adalah lelaki, Siti Huzaifah tidak kekok untuk sama-sama mempelajari seni Bela Diri Tangan Kosong ataupun lebih dikenali sebagai Betakos itu. Pelatih juga akan didedahkan dengan beberapa jenis cara tendangan. Siti Huzaifah berkata, dia mempelajari seni bela diri itu sebagai satu langkah untuk dia melindungi dan mempertahankan diri jika berlaku sebarang perkara tidak diingini. Jelasnya, pengalaman pernah diragut sebanyak dua kali mendorongnya untuk mempelajari seni bela diri itu. “Saya mengalami trauma selepas diragut sebanyak dua kali dan tidak mampu berbuat apa-apa pada waktu itu. “Namun, melalui seni bela diri ini, saya diajar tentang langkah atau pergerakan yang boleh digunakan jika diragut mahupun diganggu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur Siti Huzaifah mengakui, sebelum ini dia tidak mengetahui apa-apa tentang seni bela diri Betakos. Namun, setelah berkongsi maklumat bersama rakannya tentang seni bela diri itu di laman sosial Facebook, dia tertarik untuk mencuba. “Saya berhasrat untuk belajar dan mencari seni bela diri yang sesuai. Akhirnya, saya memilih Betakos ini berdasarkan kelainan yang dimiliki selepas menonton video yang dimuat naik di Facebook,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini. Betakos diasaskan oleh jaguh silat negara, Ruzaidi Abd. Rahman pada tahun 1998. Ia adalah hasil pembelajaran dan pengamatan beberapa jenis seni mempertahankan diri yang pernah digunakan pada pertandingan ataupun waktu-waktu yang diperlukannya. Ruzaidi yang kini berusia 52 tahun berkata, Betakos tidak mengamalkan sistem hafalan buah tetapi ia lebih kepada membentuk kemahiran tumbukan, tendangan, langkah dan membaca pergerakan tubuh pihak lawan untuk bertindak. Menurutnya, dia melakukan penyelidikan terhadap beberapa seni mempertahankan diri yang pernah dipelajari sebelum ini. Dia kemudiannya menggabungkan langkah-langkah yang mudah dan sesuai untuk digunakan menjadi Betakos. “Antara langkah seni mempertahankan diri yang saya kaji ialah Silat Cemende, Gayung, Kalam, Tinju dan Muay Thai. “Betakos ini unik dan mudah untuk dipelajari kerana mereka yang mempelajarinya tidak perlu untuk menghafal buah atau langkah yang sukar,” katanya yang pernah berlakon dalam drama Keris Hitam Bersepuh Emas dan filem Abang Long Fadil. Tambahnya, apa yang ditekankan dalam seni mempertahankan diri itu ialah bagaimana untuk membaca pergerakan tubuh pihak lawan dalam melakukan pertahanan dan serangan. Melalui seni bela diri Betakos itu, pelajar akan diajar kaedah untuk menggunakan seluruh anggota badan seperti tangan, kaki, siku dan lutut bagi mempertahankan diri. Selain itu, mereka juga akan didedahkan dengan cara-cara untuk menjadikan barang-barang yang ada di sekeliling sebagai senjata. “Sebenarnya, barang-barang atau bahan yang ada di sekeliling kita boleh dijadikan senjata antaranya pen, kayu, batu, tiang mahupun dinding tetapi ia perlu digunakan dengan betul. “Pelajar akan diajar cara-cara untuk menggunakan barang-barang ini bagi mempertahankan diri jika diserang,” jelas Ruzaidi yang pernah memenangi pingat emas pada Kejuaraan Silat Dunia 1990 di Belanda. Lebih 20 pelatih kini mengikuti kelas seni mempertahankan diri Betakos yang diadakan di Wisma PPIM di Taman Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Bagi menguasai seni bela diri Betakos secara lebih mendalam, pelatih perlu melalui beberapa peringkat terlebih dulu. Pada peringkat pertama, pelatih akan didedahkan tentang kaedah untuk menangani situasi apabila diserang orang awam. Pada peringkat itu juga, mereka akan diajar untuk menguasai teknik melakukan tumbukan dan sepakan dengan betul. Bagi peringkat kedua, pelatih akan diajar cara-cara untuk menangani situasi serangan individu yang mahir dalam seni mempertahankan diri.  “Pada peringkat ketiga, pelatih akan didedahkan dengan cara-cara berhadapan dengan penyerang bersenjata. Pada peringkat ini, mereka juga diajar bagaimana mahu berhadapan situasi satu lawan dua atau satu lawan tiga. “Pada peringkat keempat, pelatih akan diajar cara-cara untuk melepaskan diri apabila ia diserang dan dikunci pergerakan,” jelas Ruzaidi. Tambahnya, peringkat akhir ialah mengenai kefahaman iaitu pelatih perlu faham dan menguasai kesemua peringkat yang diajar. Bagi menguasai kesemua peringkat ini tempoh masa yang diperlukan adalah selama dua tahun. Dalam pada itu Ruzaidi berkata, semua orang tanpa mengenal batasan umur boleh belajar seni mempertahan diri ini asalkan mereka memahami apa yang hendak diajar kepada mereka. “Golongan wanita khususnya digalakkan untuk mendalami seni mempertahankan diri ini kerana pergerakannya mudah untuk difahami dan dikuasai. “Dalam tempoh tiga bulan, pelatih boleh faham dan menguasai pergerakan asas yang diajar. Untuk menjadi mahir dalam seni Betakos ini, masa yang diambil sekitar dua tahun. Selepas itu, pelatih sudah layak untuk menjadi jurulatih jika dia berminat,” kata Ruzaidi. Tambahnya, apa yang menarik tentang seni bela diri Betakos ini ialah ia tidak mengamalkan sebarang ritual pemujaan dan sebagainya. Penerimaan masyarakat terhadap Betakos amat menggalakkan walaupun ia masih belum popular berbanding dengan seni mempertahankan diri yang lain. Ruzaidi sering diundang oleh pelbagai pihak terutamanya majlis perbandaran untuk mengajar penguat kuasa tempatan mendalami seni mempertahankan diri itu. Dalam pada itu, Ahmad Syahmi Shaari, 26, berkata, dia mengetahui tentang seni bela diri Betakos semasa menyertai Akademi Silat Pendekar Muda pada tahun lalu. Menurutnya, seni bela diri itu telah diperkenalkan oleh Ruzaidi yang ketika itu merupakan Pengetua Akademi Silat Pendekar Muda. “Sewaktu itu, saya ada mempelajari teknik asas tentang Betakos ini dan selepas tamat akademi tersebut, saya terus berhubung dengan cikgu Ruzaidi untuk mendalami seni mempertahankan diri dengan lebih menyeluruh dan mendalam. “Setelah beberapa bulan belajar Betakos, saya dapati ia begitu unik kerana pergerakan yang dipelajari ringkas dan mudah difahami,” katanya. Tambahnya, seni mempertahankan diri sangat banyak dan dia memilih untuk mendalami Betakos.  Sebelum ini, Syahmi juga pernah mendalami beberapa seni mempertahankan diri yang lain antaranya Silat Kalimah dan Taekwondo      

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL