Thursday, February 16, 2017

3462) BERILAH DEGO RIDE PELUANG - HARIAN METRO - 16/2/2017

harian metro 16.2.2017 “Kena beri peluang juga, ini kerana pengangkutan awam sedia di sesetengah kawasan masih belum menyeluruh,” kata pakar pengangkutan bandar Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah O K Rahmat mengenai keputusan pengharaman operasi teksi motosikal Dego Ride. Beliau berkata, di sesetengah kawasan perumahan diakui tiada perkhidmatan pengangkutan awam atau kurang efisien menyebabkan masyarakat kawasan itu lebih gemar menggunakan kenderaan sendiri. Namun, katanya, isu utama yang perlu diperhalusi mengenai penggunaan teksi motosikal adalah faktor keselamatan sebab kenderaan itu paling banyak terbabit dalam kemalangan. “Penggunaan kenderaan pengangkutan seumpamanya sudah biasa di Jakarta dan Bangkok. Secara praktikalnya memang cepat ketika kesesakan lalu lintas. “Malah dengan harga rendah ia juga menjimatkan perbelanjaan untuk pengangkutan seseorang individu bekerja di bandar. “Tetapi perlulah ada syarat memenuhi code of conduct (tatacara kelakuan) serta beroperasi dengan lebih profesional termasuk mungkin penggunaan jaket keselamatan seragam untuk penunggang dan penumpang,” katanya. Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu motosikal teksi masih baru di negara ini serta menarik dan beliau juga mungkin meminta pelajarnya untuk melakukan kajian mengenainya. Sementara itu, Profesor Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan (SUTRA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Amiruddin Ismail berkata, isu itu perlu dibincangkan ke peringkat Parlimen terlebih dulu dengan sokongan kajian mendalam dan menyeluruh. “Apapun kerajaan sebenarnya sudah pun menyediakan bas perantara secara percuma untuk menyokong sistem rel yang sentiasa dipertingkatkan keberkesanannya. “Mungkin ada isu bas berkenaan tidak cukup dan perlu ditambah lagi. Sistem rel ini antara lain untuk menggalakkan pengguna jalan raya tidak menggunakan kereta sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya. Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan sewajarnya melakukan soal selidik untuk meminta pandangan orang ramai dan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan mengharamkan teksi motosikal.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL