PENGGUNA RUGI JIKA PUSAT PENYEMBELIHAN AYAM HALAL DIBATALKAN – UTUSAN ONLINE – 17/2/2017
KUALA LUMPUR 17 Feb. – Tindakan pihak tertentu yang membantah pembinaan projek Pusat Penyembelihan Ayam Halal Bersepadu di Selayang, di sini dilihat lebih bersifat individu dan kepentingan peribadi pihak tertentu.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Rosli Sulaiman berkata, bantahan yang dibuat pihak berkenaan adalah tidak berasas selain alasan yang dikemukakan tidak jelas.
“Saya difahamkan ada satu pihak yang membantah projek ini dan berkemungkinan kerana ia tidak mendatangkan keuntungan secara peribadi.
“Sedangkan apa yang cuba dilaksanakan kerajaan adalah untuk memastikan produk yang dikeluarkan khususnya dalam aspek penyembelihan adalah mengikut piawaian yang ditetapkan selain faktor halal dan bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar gabungan pertubuhan bukan kerajaan tersebut yang bersepakat menyokong penuh pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam Halal Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Sementara itu, menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kewujudan pusat sedemikian sepatutnya sudah lama diwujudkan kerana ia lebih memberi manfaat kepada pengguna.
“Kewujudan pusat sebegini merupakan kejayaan kepada pengguna kerana dengan adanya kemudahan seperti ini, kita tidak perlu khuatir lagi untuk mendapatkan bekalan ayam yang halal dan bersih,” kata Nadzim dalam sidang akhbar gabungan pertubuhan bukan kerajaan tersebut yang bersepakat menyokong projek itu diteruskan, di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment