Hidup ibarat roda, ada
masa di atas dan ada ketikanya di bawah. Memang tidak pernah terlintas pada
benak wanita ini yang suatu hari dia akan duduk di kaki lima bersama
gelandangan kota, menagih simpati orang ramai demi sesuap nasi. Sedangkan
sebelum ini, dia yang akan turun berjumpa golongan itu mewakili majikannya
menyumbang bungkusan makanan.
Pernah melalui
kehidupan yang agak senang sebelum ini, siapa menyangka situasi itu berubah,
gara-gara suaminya menghilang diri sejak enam bulan lalu dengan meninggalkan
hutang yang banyak.
Tiada pilihan lain, dia
terpaksa mengambil alih tugas menjaga lapan anak yang berusia antara 23 tahun
sehingga tiga bulan, sendirian.
Memburukkan lagi
keadaan, Anita Mes, 45, dan anak-anak terpaksa menanggung ‘dosa’
suami, diburu sekumpulan ah long yang mengugut untuk merogol anak perempuannya
dan membunuh mereka sekeluarga selagi hutang suami berjumlah lebih RM50,000 itu
tidak diselesaikan.
“Suami hilang tanpa
sebarang berita ketika saya mengandungkan anak bongsu. Bayangkan, saya hampir
meroyan selepas melahirkan anak memikirkan bagaimana untuk membeli susu dan
makan anak-anak yang lain kerana wang simpanan dan barang kemas sudah habis
dijual untuk menyelesaikan sebahagian hutang suami.
“Paling tidak boleh
dilupakan, saya pernah berjalan seharian di sekitar pusat bandar walaupun
ketika itu baru beberapa hari bersalin, semata-mata untuk mencari bantuan
membeli susu. Bayi saya alahan susu badan, jadi dia bergantung kepada susu
formula sahaja.
“Waktu itu, saya sudah
malu nak pinjam wang daripada rakan-rakan kerana sudah banyak saya pinjam
daripada mereka. Jadi, saya tidak punya pilihan kecuali pergi berjumpa dengan
beberapa pengurusan masjid di ibu negara untuk merayu meminta sedikit wang.
“Saya ingat mudah,
rupa-rupanya proses mendapatkan wang memakan masa yang lama sampai
berminggu-minggu, sedangkan ketika itu saya sangat terdesak dan tak boleh
tunggu lama. Saya hampir putus asa, tidak tahu di mana lagi boleh mendapatkan
bantuan segera,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Menurut Anita yang
enggan wajahnya dikenali, ketika duduk memikirkan masalah diri di sekitar
Masjid Negara, seorang gelandangan yang mengenalinya menegur dan menyatakan
terdapat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang boleh
membantunya memberi sedikit wang.
Tanpa berfikir panjang,
Anita terus ke pejabat NGO tersebut. Di situ pihak pengurusan tidak bertanya banyak
kepadanya melainkan apa keperluan yang diingini, malah sempat menasihati Anita
supaya tidak berputus asa dalam hidup kerana mereka boleh membantu meringankan
beban yang ditanggung.
Dia yang kelihatan
sugul dengan nasib menimpa keluarga, kemudiannya membuat aduan kepada Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mengelak keadaan bertambah buruk tentang
ugutan yang diterima.
Bersyukur, kerana PPIM
telah berhubung dengan semua ah long berkenaan dan merujuk kes terbabit kepada
pihak polis kerana mempunyai unsur ugutan bunuh. Anita tidak lagi diganggu
mereka buat sementara ini dan dia berusaha memikirkan bagaimana menyelesaikan
baki hutang yang tertunggak.
Ketika ini, Anita tidak
bekerja kerana tidak boleh meninggalkan bayinya yang masih kecil tanpa penjaga.
Hidup Anita sekeluarga kini bergantung kepada anak perempuan sulungnya yang
bekerja di sebuah butik dan baru-baru ini juga dia mula menerima bantuan
daripada Baitulmal.
Anita juga kini
berdepan dengan masalah lain apabila rumah yang diduduki mempunyai tunggakan
selama setahun kerana tidak mampu untuk melunaskannya ekoran tidak bekerja.
Apa yang membimbangkan,
tunggakan itu akan menyebabkan Anita bakal kehilangan tempat berteduh
memandangkan telah menerima notis dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Bukan tak mahu
bekerja, tetapi siapa yang akan menjaga anak kecil ini kerana tak mampu
menghantar anak ke pengasuh. Saya berharap ada pihak yang sudi memberi peluang
pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah kerana saya perlu meneruskan hidup
demi anak-anak.
“Dahulu saya pernah
mengambil kursus membuat roti dan bercadang untuk berniaga tetapi saya tidak
mempunyai peralatan serta modal yang boleh digunakan untuk memulakannya,” kata
Anita yang turut berterima kasih kepada pengasas pertubuhan Humanity, Mohd.
Nizam Wahid yang banyak membantunya selama ini.
No comments:
Post a Comment