Saturday, June 10, 2017

3806) Ibu tuntut laporan bedah siasat kedua Thaqif - Malaysia Kini - 10/6/2017

Keluarga Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi hari ini menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia segera mengeluarkan keputusan hasil bedah terhadap bekas pelajar sekolah tahfiz yang meninggal dunia itu.
Ibunya, Felda Wani Ahmad, berkata sehingga kini mereka masih menunggu-nunggu laporan bedah siasat berkenaan.
"Pihak hopital kata laporaan perubatan akan keluar dalam masa 30 hari, tapi arwah dah meninggal lebih 40 hari dan laporan belum ada," kata Felda Wani pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kuala Lumpur sebentar tadi.
 Pada pagi 18 Mei lalu kubur Mohamad Thaqif digali semula selepas mendapat kebenaran mahkamah apabila pakar patologi tidak berpuas hati dengan bukti sedia ada.
Memetik laporan media, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pada 19 Mei berkata keputusan hasil bedah siasat kedua kanak-kanak berusia 11 tahun itu -khususnya sampel kaki - dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata bedah siasat pertama ke atas pelajar tahfiz yang meninggal dunia 26 April lepas itu telah dilakukan namun punca kematian masih belum diketahui.

 Mengulas lanjut, Felda Wani berkata pihak keluarga amat memerlukan keputusan bedah siasat itu bagi mengetahui punca sebenar kematian anaknya.

"Sekarang kita nak tahu kalau betul anak saya itu sakit, dan kita nak tahu sebab kematian," tegas Felda Wani sambil mengesat air matanya.
Mengapa gali semula
Pelajar Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ) itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kakinya didakwa dipukul dengan getah paip oleh pembantu wardennya.
Kecederaan tersebut semakin serius apabila melibatkat jangkitan kuman. Kedua-dua kaki Mohamad Thaqif kemudian terpaksa dipotong untuk menyelamatkan nyawanya.
Namun keadaan semakin memburuk sebelum kanak-kanak itu akhirnya menghembus nafas terakhir pada 26 April lalu.
Seorang pembantu warden direman polis untuk membantu siasatan dan dia akhirnya dibebaskan pada 3 Mei lalu.
Pada 18 Mei kubur Mohamad Thaqif digali semula untuk membolehkan sampel baru diambil supaya punca sebenar kematian kanak-kanak itu diketahui.
Menurut Felda Wani, setakat ini keluarga hanya menerima laporan mengenai kes itu secara lisan.
"Sampai sekarang tak dapat apa-apa lagi laporan bertulis, kami nak tahu laporan bertulis.
"Mereka hanya cakap tapi laporan bertulis tidak ada," keluh Felda.
Selain itu, Felda Wani turut mempersoalkan tindakan menggali kubur anaknya dibuat tanpa dimaklumkan terlebih dulu.
"Persoalan yang timbul, kenapa perlu gali? Keluarga tak nak (gali semula) sebab ada sempel.
"Dah sebulan arwah meninggal, kami hanya tahu bila orang kampung dah tunggu di kubur untuk proses menggali," katanya.
Walaupun proses itu mendapat kebenaran mahkamah, kata Felda Wani, keluarga patut dimaklumkan lebih awal.
Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Hishamuddin Hashim, berkata pihak berwajib perlu mendedahkan keputusan hasil bedah siasat bagi mengelak berlakunya penyelewengan laporan.
"Apa yang kita mahu, laporan perubatan dikeluarkan segera bagi mengatasi pelbagai spekulasi dan ia mungkin boleh menjejaskan imej kementerin.
"Kedua, kita minta supaya laporan yang keluar itu biar telus dan tidak cuba melindungi mana-mana pihak," katanya.
Hishamuddin juga berkata PPIM akan menyediakan peguam pemerhati bagi semua proses pengadilan untuk memastikan hak keluarga dipelihara.

https://m.malaysiakini.com/news/385120

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...