Wednesday, June 21, 2017

3825) PENGUSAHA MAHU SAMAN CALTEX ARAH TUTUP STESEN MINYAK TANPA SEBAB - FMT NEWS - 20/6/2017

Snapshot(3)-vert
SHAH ALAM: Caltex Malaysia memberi tempoh 30 hari kepada 15 pengusaha stesen minyaknya untuk menamatkan operasi mereka tanpa sebarang alasan munasabah.
 Seorang pengusaha stesen minyak itu, Fauziah Ahmad Fadzil berkata, beliau bersama 14 pengusaha lain dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak berang dengan tindakan Caltex itu yang bakal membawa kerugian kepada mereka dan menyebabkan 200 pekerja hilang pekerjaan.
“Kami ingin menegaskan kami menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh dan kami tidak melakukan sebarang keingkaran untuk mendapat notis penamatan ini dari Caltex.
“Kami cuba berunding dengan Caltex, tetapi mereka tidak mahu berjumpa kami, walaupun beberapa kali kami cuba berjumpa dengannya,” katanya pada sidang media di stesen minyak Caltex miliknya di Jalan Subang, Shah Alam.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia, Rofaie Mohd Hamdan dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Fauziah berkata, Caltex menyerahkan notis penamatan pada 15 Mei lalu dan memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk mereka menamatkan operasi stesen minyak masing-masing, iaitu 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.
Susulan itu, katanya, beliau bersama 14 pengusaha lain akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Caltex kerana tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat minyak itu.
Beliau turut mendakwa Caltex melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak Caltex.
“Sepatutnya kos melaksanakan perkhidmatan layan diri, termasuk pemasangan alat-alat automasi dan penyelenggaraan alat tersebut ditanggung sepenuhnya syarikat minyak (Caltex) dan tidak dikenakan sebarang caj sama ada langsung atau tidak langsung kepada pengusaha stesen minyak.
“Kami mematuhi arahan kerajaan yang dikeluarkan kepada Caltex, malangnya Caltex tetap minta kami menanggung kos itu sendiri sehinggalah mereka menang kes di Mahkamah Persekutuan yang menyebabkan kami perlu membayar ganti rugi RM300,000 setiap pengusaha,” katanya.
Fauziah berkata, disebabkan kes itu, ada di kalangan mereka yang terpaksa membuat pinjaman atau mengadaikan rumah bagi membayar ganti rugi itu kepada Caltex.
Seorang daripada pengusaha terjejas, Fauziah Ahmad Fadzil bersama wakil PPIM pada sidang media di stesen minyak Caltex miliknya di Jalan Subang, Shah Alam.
Seorang daripada pengusaha terjejas, Fauziah Ahmad Fadzil bersama wakil PPIM pada sidang media di stesen minyak Caltex miliknya di Jalan Subang, Shah Alam.
Bagaimanapun, mereka terkejut 2 bulan selepas pembayaran itu, Caltex mengeluarkan notis penamatan operasi.
“Apakah ini bukan zalim namanya, terutama bila kami sibuk dengan musim perayaan? Kami membantah tindakan Caltex ini kerana kami pengusaha tua dan lama dalam perniagaan stesen minyak ini.
“Kalau diberhentikan tanpa sebab dalam masa terdekat ini, kami tidak lagi berpeluang menjalankan perniagaan disebabkan usia sudah lanjut,” katanya.
Seorang lagi pengusaha stesen minyak Caltex terjejas, Yong Sing Fatt, 56, hanya mampu menitiskan air mata mengenang nasibnya kerana stesen minyak itu diwarisi daripada bapanya.
“Tindakan Caltex ini terlalu keras, membebankan dan menekan kami.
“Notis penamatan ini juga tidak munasabah dan tidak boleh diterima serta tidak sah, memandangkan kami sudah lama jalankan perniagaan,” katanya yang sudah 15 tahun mengendalikan stesen minyak itu.
Dalam pada itu, PPIM mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan tegas terhadap Caltex.
Nadzim menyifatkan ia tindakan “buli” yang perlu dihentikan segera.
“Ini buli, wajarkah setelah mereka (Caltex) dapat ganti rugi mereka hantar notis penamatan.
“Caltex ingkar arahan kerajaan dan kalau tak dapat selesai cara baik, saya seru kita semua bersatu menentang penindasan ini. Kita mohon KPDNKK ambil tindakan.”
Sementara itu, Caltex ketika dihubungi FMT hari ini berkata, syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan kemudian, tetapi tidak dinyatakan bila.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...