Saturday, June 10, 2017

3794) SEGERAKAN LAPORAN PERUBATAN - UTUSAN MALAYSIA - 10/6/2017


KUALA LUMPUR 9 Jun - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, mengemukakan laporan hasil bedah siasat secepat mungkin berhubung kematian Allahyarham Mohd. Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 26 April lalu.
Ketua Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Ha­shim ber­kata, laporan berkenaan mesti telus tanpa melin­dungi kesalahan mana-mana pihak sama ada pembantu warden atau pegawai perubatan yang terlibat bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang timbul daripada masyarakat.
“Tujuan ibu bapa arwah tampil pada hari ini bukan untuk menuduh mana-mana pihak, cuma mahu jawapan terhadap persoalan yang timbul termasuk menjelaskan tohmahan orang ramai.
“Kita akan menyediakan peguam pemerhati untuk melihat prosedur rawatan dan pembedahan agar hak keluarga terpelihara,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPIM di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Peneroka Felda Semalaysia, Datuk Seri Adnan Othman.
Akhbar sebelum ini melaporkan pelajar madrasah tahfiz swasta, Mohd. Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 11, meninggal dunia selepas kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.
Kisah Mohd. Thaqif Amin menjadi tular di media sosial selepas mendakwa disebat dengan paip getah sehingga lebam di kedua-dua belah kakinya oleh pembantu warden di asrama itu.
Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudiannya direman untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah RM20,000 pada 3 Mei.
Dalam pada itu, keluarga Allahyarham Mohamad Thaqif Amin mempersoalkan tiada bedah siasat dilakukan di kedua-dua belah kaki arwah pada peringkat awal siasatan kematian.
Malah, pihak keluarga belum menerima sebarang jawapan bertulis berhubung prosedur rawatan dan pembedahan sepanjang arwah ditempatkan di hospital berkenaan sejak 19 April lalu.
Ibu arwah, Feldawani Ahmad, 40, berkata, bedah siasat kedua-dua belah kaki hanya dibuat selepas arwah dikebumikan hampir sebulan.
“Kami juga tidak dimaklumkan lebih awal sebelum kubur digali semula, namun kami akur tindakan berkenaan atas perintah mahkamah.






No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...