Saturday, June 10, 2017

3797) SYARIKAT PAJAKAN KENDERAAN DIDAKWA LANGGAR KONTRAK - UTUSAN MALAYSIA - 10/6/2017

KUALA LUMPUR 9 Jun – Sebuah syarikat pajakan kenderaan yang beroperasi di Seri Kembangan dekat sini didakwa menganiayai hampir 500 individu dengan membabitkan 1,500 kenderaan.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhamad Yusuf Azmi yang menjelaskan, modus operandi syarikat itu untuk memperdaya mangsa juga amat licik apabila tidak menepati kontrak dipersetujui.
Muhamad Yusuf berkata, syarikat tersebut tidak pernah menepati bayaran yang sepatutnya diterima oleh mangsa pada setiap bulan hasil daripada sewaan kenderaan mereka.
Dakwanya, pengurusan syarikat terbabit turut mendiamkan diri apabila dihubungi mangsa selain tidak menjawab sebarang surat pembatalan perjanjian yang telah dihantar kepada mereka.
 “Pihak syarikat juga tidak memberi sebarang kerjasama sehingga tempoh penarikan kereta 30 hari tamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhamad Yusuf, mangsa lebih terbeban apabila pengurusan syarikat itu bertukar tangan daripada seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Raja’ kepada seorang lelaki bergelar Datuk Seri.
Katanya, pengurusan baharu itu turut meminta mangsa membayar ganti rugi sekiranya ingin mendapatkan semula kenderaan mereka.
“Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati mangsa kerana syarikat jelas telah melanggar perjanjian kerana mereka tidak berhak menuntut sebarang ganti rugi daripada pemilik asal,” jelas beliau.
Lebih membimbangkan, kata Muhamad Yusuf, pengurusan baharu itu turut mengupah samseng untuk menakut-nakutkan mangsa yang cuba menarik keluar kenderaan mereka daripada syarikat tersebut.
“Mangsa juga dipaksa menandatangani perjanjian baharu yang merugikan pemilik asal kenderaan,” ujar beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/syarikat-pajakan-kenderaan-didakwa-langgar-kontrak-1.491513#ixzz4jZJuRiCO © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...