Friday, June 23, 2017

3838) DESAK HUKUMAN LEBIH BERAT - BERITA HARIAN - 23/6/2017

berita harian 23.6.2017
Banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan meminda Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 yang disifatkan sudah lupuk kerana hanya memperuntukkan denda maksimum RM300 bagi kesalahan memiliki bunga api yang disifatkan terlalu kecil dan tidak setimpal dengan kecederaan dialami pengguna.
Pengamal undang-undang pula berpandangan pindaan kepada peraturan itu semata-mata tidak akan memberi kesan untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan kecederaan akibat bermain mercun yang dialami saban tahun tanpa sebarang penguatkuasaan dan pelaksanaan yang konsisten.
DENDA SEHINGGA RM250,000
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu hukuman denda dinaikkan sehingga RM250,000 bagi penjual, manakala RM500,000 bagi syarikat yang disabitkan kesalahan, selain Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak tindakan tegas turut dikenakan terhadap pembeli.
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata selain denda maksimum yang tinggi, kerajaan juga wajar mempertimbangkan hukuman penjara dan sebatan kepada penjual jika bahan jualannya itu mendatangkan kecederaan kepada orang ramai.
Beliau berkata, pindaan terhadap peraturan itu perlu dilaksanakan dengan segera bagi memberi pengajaran kerana keuntungan daripada perniagaan mercun dan bunga api terutama pada musim perayaan jauh lebih besar berbanding hukuman maksimum dikenakan.
"Kemungkinan pihak berkuasa terlepas pandang terhadap peraturan yang digubal sebelum merdeka sehingga mengekang mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan,"katanya.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya kerajaan bersikap lebih tegas terhadap peniaga mercun dan bunga api berikutan banyak kecederaan dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, jika kerajaan berhasrat mengenakan hukuman denda berpuluh ribu ringgit terhadap peniaga dan pengedar, tindakan tegas juga wajar dikenakan kepada pembeli.
SYOR HUKUMAN PENJARA
"PPIM juga mahu kerajaan mengenakan penjara kepada individu disabitkan kesalahan kali kedua dalam usaha mengurangkan aktiviti penjualan mercun dan bunga api pada masa depan,"katanya.
Semalam, Mahkamah Majistret Ampang menjatuhkan hukuman denda maksimum RM300 ke atas peniaga kedai makan, Mohd Nor Safar Mat Darus yang didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 kerana memiliki pelbagai jenis bunga api.
Sabtu lalu, BH Bongkar melaporkan Bahagian Penguatkuasa agensi kerajaan banyak kali menggagalkan taktik menyeludup mercun dan bunga api sama ada di pintu masuk sempadan negara atau melalui jalan laut, dengan merampas berkotak-kotak bahan larangan itu.
Bagaimanapun, usaha itu didapati tidak membawa apa-apa makna apabila penjualan mercun yang sudah lama diharamkan di negara ini masih berterusan, malah dilakukan secara terbuka di bazar Ramadan, dengan peniaga langsung tidak gentar terhadap undang-undang.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...