Friday, June 9, 2017

3792) GESAAN MEMPERCEPATKAN PROSES PEROLEHAN LAPORAN PERUBATAN ALLAHYARHAM ADIK MOHD THAQIF - PPIM - 9/6/2017


Pemergian adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11 tahun, telah mengejutkan rakyat Malaysia pada petang 26 April 2017 selepas seminggu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Pelajar madrasah tahfiz itu mendakwa kakinya disebat dengan menggunakan getah paip oleh seorang warden tahfiz sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.
Malahan pada 18 Mei 2017, jenazah Allahyarham digali semula oleh pihak hospital bagi mencari sebab utama kematiannya kerana sebelum ini dinyatakan oleh pihak hospital bahawa kematiannya adalah berpunca dari jangkitan kuman pada tonsil. Dukacita, sehingga kehari ini masih tiada sebarang laporan mahupun kenyataan yang diterima oleh keluarga mangsa mengenai hasil bedah siasat.

“Pihak hospital beritahu saya bahawa tidak perlu digali kerana sampel sudah diambil sebelum ini.
“Tapi tiba-tiba selepas sebulan pemergian Allahyarham, kami dikejutkan oleh kehadiran pihak hospital di tanah perkuburan untuk mengali semula kubur tanpa pengetahuan kami.
“Mereka sudah tiba dikubur baru kami dimaklumkan, alasan mereka, takut ada ahli keluarga beritahu pihak wartawan.” ulas ibu Allahyarham, Felda Wani Ahmad.
Beliau juga terkilan dan tidak menjangkakan kematian anaknya walaupun pembedahan kaki telah dijalankan bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak kebahagian organ lain.

Justeru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terpanggil untuk membela dan mendapatkan kepastian mengenai laporan hasil bedah siasat kaki Allahyarham yang seharusnya diterima oleh keluarga mangsa.
“Wujud pelbagai persoalan mengenai kes ini, adakah ini kesan dari sebatan getah paip ataupun kesan dari pihak hospital.
“Hospital telah memaklumkan bahawa laporan akan dikeluarkan dalam masa 2 minggu, tetapi sampai sekarang tiada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan.” kata Ketua Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim.
Beliau turut berharap bahawa laporan perubatan akan dikeluarkan dengan kadar segera serta telus dan tidak menyelindung kesalahan mana-mana pihak, sama ada warden tahfiz mahupun pegawai perubatan, bagi mengelakkan pelbagai spekulasi timbul.

Ketua Aktivis PPIM, Dato Nadzim Johan, mendakwa isu seperti ini harus diberi perhatian yang mendalam kerana saban hari kita mendengar dan melihat isu berkaitan sistem pentadbiran tahfiz semakin merosot dan menggusarkan ramai pihak.
“Sepatutnya tahfiz merupakan tempat yang baik tetapi sekarang ini banyak berlaku benda yang tidak sepatutnya seperti buli.
“Mungkin kita perlu adakan satu suruhanjaya tahfiz bagi menyelia dan menjadikan madrasah tahfiz sebuah institusi yg berjaya.” ulasnya lagi.
Beliau turut berharap bahawa institusi tahfiz ini dapat dipertingkatkan sehingga mencapai tahap yang memberi keyakinan kepada masyarakat. Malahan pihak kerajaan juga diseru bagi mengambil iktibar yang positif dari peristiwa ini supaya ianya tidak berulang lagi.




No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...