Wednesday, June 21, 2017

3835) 150 pembeli tanah tertipu RM9 juta - Metro Online - 20/6/2017

Snapshot(9)
HASRAT seorang bapa membelikan anaknya sebidang tanah lot di sekitar Gombak dan Hulu Langat, lebur apabila dia bersama​​​​​​ 150 yang lain menjadi mangsa penipuan satu syarikat hartanah sehingga mengakibatkan kerugian dianggar RM9 juta.
Bekas pekerja Bank Negara, Othman Sabri, 72, mendakwa dia kerugian hampir RM72,000 apabila syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pembelian tanah itu kini tidak lagi wujud.
“Saya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi membeli tanah lot itu kerana harganya murah selain cara syarikat itu menerangkan bagaimana projek berkenaan dilaksanakan menyebabkan saya tidak ragu.
“Namun, selepas setahun menunggu dan apabila berkali-kali panggilan tidak berjawab, saya nekad ke pejabat syarikat itu tetapi mendapati ia sudah ditutup," katanya pada sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata, hasil siasatan mendapati penipuan syarikat hartanah itu dilakukan dua ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dengan seorang adalah suami selebriti tanah air.
Yusuf berkata ahli perniagaan itu bergiat aktif mencari pelanggan sejak 2011 dengan modus operandi menjual tanah milik orang lain yang belum bertukar hak milik kepada pembeli pada harga lebih murah berbanding pasaran.
Menurut Yusuf, syarikat berkenaan sebelum ini pernah ditutup namun pelaku membuka sebuah syarikat baharu bagi meneruskan kegiatan mereka.
“Kami berharap pihak berwajib seperti Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 9:52 PM

http://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/06/239285/150-pembeli-tanah-tertipu-rm9-juta

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...