Sunday, October 19, 2014

2125) ARKIB BERITA PPIM - 16/9/2014 BERITA HARIAN ONLINE - Purata 68 Individu Muflis Setiap Hari

Keratan akhbar BH 7 November tahun 2013.
KUALA LUMPUR: Purata 68 individu diisytiharkan muflis setiap hari di negara ini, meningkat 13 peratus daripada 60 orang bankrap setiap hari, tahun lalu.
Statistik terkini Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan dari Januari hingga Jun lalu, seramai 12,381 individu sudah diisytiharkan muflis atas pelbagai sebab, sekali gus membayangkan isu kebankrapan yang semakin membelenggu sebilangan rakyat Malaysia.
Malah statistik MdI sejak tahun 2007 juga menunjukkan aliran peningkatan individu muflis daripada 13,238 pada 2007, 13,855 (2008), 16,228 (2009), 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 (2012) dan 21,987 (2013) dengan keseluruhan kes bankrap bagi tempoh itu mencecah 134,550 orang.
Peningkatan kes muflis ini merunsingkan pelbagai pihak yang meminta kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia menjadi parah.
Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan peningkatan kes muflis di negara ini sebagai 'fenomena membimbangkan'.
Katanya, apa yang lebih menggusarkan apabila majoriti individu muflis itu terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.
Statistik menunjukkan daripada keseluruhan individu muflis, 75,279 atau 55.94 peratus berumur 44 tahun ke bawah dengan kelompok 35-44 tahun menduduki jumlah individu tertinggi muflis iaitu 46,060 kes atau 34.23 peratus.
"Kerajaan perlu segerakan pindaan akta terbabit," katanya mengupas isu kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kerajaan sebelum ini mencanangkan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu muflis mendapat pelepasan kebankrapan, bagaimanapun perkara itu masih tertangguh sehingga ke hari ini.
Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, dilapor berkata, melalui pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan dilaksanakan kepada pemiutang untuk mendapatkan semula hutang berdasarkan kerangka perundangan MdI, termasuk perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.
Bagaimanapun, tinjauan BH dalam kalangan individu muflis mendapati kebanyakannya skeptikal mengenai pindaan itu dengan ada antara mereka mempunyai pandangan negatif terhadap MdI yang dilihat seolah-olah memihak kepada pemiutang atau bank.
Segera pinda akta
"MdI perlu melihat isu persepsi itu sebagai cabaran dengan pihak kerajaan digesa segera melaksanakan pindaan akta terbabit, termasuk menyegerakan pelaksanaan pelepasan automatik kepada penjamin sosial bagi pinjaman kenderaan atau pinjaman pendidikan," kata Sohaimi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas EXCO Biro Ekonomi Pemuda UMNO yang memperjuang isu muflis bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO), khususnya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaied, berkata Jabatan Insolvensi perlu mengubah persepsi negatif terhadap badan itu dengan mengambil tindakan lebih proaktif dan mesra rakyat.
Subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 melarang individu diisytiharkan bankrap untuk keluar negara kecuali dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.
Ketika ini, ada tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap, iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau pembatalan melalui perintah mahkamah.

1 comment:

Datuknaga2012 said...

Kerajaan Malaysia pengurusan tidak sempurna, terlalu memberi kuasa kpd bank. bank ialah punca utama menyebabkan seseorang dijatukan bankruptcy. Bank di Malaysia boleh charge anda dengan bunga yg tinggi dan sesuka hati kalau masa anda tidak keupayaan membayar insuran bulanan. Ia tidak adil dan mangsa tidak dapat bantal dengan charge sehingga anda muflis. Malaysia kita tidak ada department yang boleh membantu anda pada masa tersebut.

Apa kebaikan Malaysia? Ia hanya menyebabkan bankruptcy meningkat saja tahun ke tahun. Ia juga akan menyebabkan lagi perkembangan economic Malaysia masa depan. Tambahan pula bankruptcy laws di Malaysia akan menghukum seseorang muflis sampai boleh memusnahkan hidup seseorang. Kita sangat jelas, ini kebanyakan disebabkan oleh kuasa bank yg keterlaluan.

Bankruptcy laws di Malaysia memang boleh menyebabkan seseorang muflis melambatkan muflis untuk hidup semula. Di dalam undang-undang bankruptcy Malaysia ada banyak syarat yang menyikat muflis untuk perkembangan semula seseorang muflis, seperti: Tidak boleh berniaga sendiri, tidak boleh terima wang lebih RM500 dari lain orang(Dikehendaki melapor kpd JIM), tidak boleh keluar luar negara berkerja (Pastport disekat), tidak dapat memegang jawatan tinggi di syarikat dan lain-lain. Ini semua memang akan menyekat seseorang muflis menjadi wang untuk perlepasan.

Harap kerajaan kita sedar dan tidak membunuh masa depan seseorang muflis di Malaysia ini dan tidak membunuh sesama sendiri.

Bankruptcy yg meningkat masa sekarang boleh menyelesaikan jika Malaysia Bankruptcy Laws untuk menjatuhkan seseorang menjadi bankrupt hutangnya kalau melebihi RM150,000 keatas. Harap juga yg telah dilaporkan bankrupt pada masa sekarang akan dilepaskan secepat mungkin jika hutang tidak melebihi RM150,000. Inilah yang sempurna.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...