Wednesday, October 4, 2017

4122) Saya lihat Boy jujur mahu bantu orang - Nassier Wahab - Berita Harian Online - 3/10/2017


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nassier Wahab, beranggapan mungkin wujud salah faham sehingga timbul kekecohan penipuan oleh syarikat perumahan Datuk Boy Iman, DBI Properties.
Terkejut dengan kejadian itu, Nassier yang juga duta syarikat perumahan berkenaan berkata, berdasarkan perbincangan bersama Boy sebelum ini, lelaki terbabit dilihat jujur ingin membantu masyarakat memiliki rumah mampu milik.
"Saya baru pulang dari Makkah (selepas menunaikan haji), dua hari lalu. Sebelum ini, selepas timbul kekecohan mengenai 'penipuan' oleh DBI, saya terus menghubungi dirinya.
"Boy memberitahu, semua itu adalah fitnah dan meminta saya berdoa kepada Allah bagi membuka jalan terbaik buatnya. Cuma, saya gagal menghubunginya semalam dan saya terkejut apabila diberitahu dia ditahan pula.
"Bukannya mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi berdasarkan perbincangan kami sebelum ini, dia bersungguh-sungguh mahu membantu masyarakat yang ingin membeli rumah dengan harga mampu milik. Saya lihat Boy jujur mahu membantu orang," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.
Nassier diminta mengulas mengenai penahanan Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman bersama dua lagi suspek utama bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.
Sementara itu, Nassier berharap agar kes terbabit dapat diselesaikan dengan baik.
"Saya rasa dia (Boy) berada di pihak yang benar. Sepanjang 15 tahun mengenalinya, saya tak pernah melihat dia menggunakan duit dengan cara salah. Saya percaya apa yang dia lakukan itu betul.
"Dia seorang yang bersungguh-sungguh dalam mengejar impian bergelar usahawan berjaya.
"Saya harap masyarakat tidak terus menuduh sehingga kebenaran itu muncul. Jujurnya, saya sedih dengan apa yang berlaku," tuturnya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL