Thursday, October 5, 2017

4143) Sampai RM1 bilion dikautnya - Metro Online - 5/10/2017


Walaupun dalang utama sudah ditahan, sindiket penipuan pelaburan berkonsepkan francais, KongsiMakan yang dikatakan mengaut untung RM3.75 juta sebenarnya lebih besar daripada itu.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu sidang media hari ini mendedahkan penipuan itu didalangi 10 individu bergelar Datuk memperdaya lebih 80,000 mangsa dengan jumlah kerugian RM1 bilion.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, dikenali dengan nama KongsiMakan, sindiket berkenaan beroperasi sejak 2015, menawarkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) kepada ahli dengan nilai RM1,750 setiap set.
Katanya, peserta hanya akan menerima untung selepas empat bulan berjumlah antara RM148 hingga RM1472 bergantung kepada jumlah set yang dibeli.
"Kita difahamkan, masuk bulan keempat, ahli tidak lagi menerima bayaran termasuk produk yang dijanjikan menyebabkan mereka mula rasa ditipu.
"Modus operandi yang digunakan ialah, mereka menggunakan nama orang kenamaan seperti Tan Sri Mohd Ali Rustam, pejabat Ketua Menteri Melaka serta EXCO Kerajaan Negeri di beberapa negeri. Jadi ramai yang terpengaruh untuk menyertai skim ini," katanya.
Nadzim berkata antara barangan yang diberikan kepada ahli adalah telekung, sabun, yang harganya tidak sampai RM80 untuk setiap set.
Menurutnya, PPIM bersama mangsa menubuhkan sekretariat bersama mangsa sebagai inisiatif untuk mengumpul maklumat sebelum merujuk perkara itu kepada pihak berwajib.
Sementara itu juara program Mentor musim keempat, Mohd Izwan Mohd Noor atau lebih mesra dengan nama Mohd, turut menjadi mangsa skim berkenaan yang disertainya lebih setahun lalu.
Katanya, pada peringkat awal, dia ditawarkan menjadi ikon selebriti skim itu dan menjelajah ke seluruh negara bagi tujuan promosi.
"Lama kelamaan, saya tertarik dengan keuntungan yang ditawarkan dan melabur sebanyak RM30,000. Seperti mana yang lain, beberapa bulan selepas itu, saya tidak terima apa-apa bayaran lagi," katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menahan seorang dalang lelaki bergelar Datuk Seri di Melaka membabitkan Skim Pelaburan KongsiMakan Bhd dengan kerugian RM3.75 juta.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL