Tahniah SPRM
SELEPAS puluhan kes berprofil tinggi dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penyelewengan dana di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari 2009 hingga 2015 pula terdedah.
Siasatan awal mendapati kira-kira RM1.5 bilion peruntukan kerajaan diseleweng dalam tempoh tersebut. SPRM membekukan sembilan akaun membabitkan wang berjumlah RM180 juta termasuk menahan tiga suspek yang dipercayai ada kaitan dengan seorang bekas menteri.
Awang geleng kepala sambil tertanya-tanya apa sudah jadi dan di mana silapnya. Kes terbaru SPRM ini bukan sahaja mengejutkan malah tidak boleh diterima kerana ia pengkhianatan besar ke atas dana awam, yang kalau di negara China, hukumannya sangat berat. Tahniah kepada SPRM atas kejayaan terbaru ini dan bongkarlah habis-habisan.
Dugaan Dzulkifli
Awang sedikit pun tidak terkejut dengan cubaan pembunuhan karektor ke atas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad sebagaimana tular sejak beberapa hari lalu. Apatah lagi, buat pertama kali dalam sejarah negara, SPRM memberi impak besar dalam memerangi rasuah sejak suruhanjaya itu diterajui beliau tahun lalu.
Dzulkifli sendiri dilihat keras kepada perasuah menyebabkan beliau tidak disukai golongan tersebut namun disenangi rakyat akar umbi kerana itulah jeritan harapan mereka.
Pada Awang, inilah antara cabaran dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa yang berdepan dengan kompleksiti di serata dunia yang sukar dijelaskan. Sesiapa yang lantang dan bersungguh-sungguh menentang rasuah dan jenayah mudah terdedah kepada sasaran malah mudah pula menjadi mangsa. Semoga Dzulkifli tabah menghadapi dugaan. Melangkahlah ke hadapan dan jangan pandang belakang.
Pada Awang, inilah antara cabaran dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa yang berdepan dengan kompleksiti di serata dunia yang sukar dijelaskan. Sesiapa yang lantang dan bersungguh-sungguh menentang rasuah dan jenayah mudah terdedah kepada sasaran malah mudah pula menjadi mangsa. Semoga Dzulkifli tabah menghadapi dugaan. Melangkahlah ke hadapan dan jangan pandang belakang.
AKHIRNYA terhina…
Dunia semakin memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi (yang pernah menerima Anugerah Nobel Keamanan) atas kekejaman ke atas etnik Rohingya.Banyak media antarabangsa memberi perhatian kepada isu tersebut termasuk majalah Time, yang turut meletakkan tanggungjawab itu kepada Suu Kyi atas kegagalannya menghentikan keganasan. Awang sudah lama melabelkan Suu Kyi sebagai penjenayah kerana beliau bersubahat dengan mempertahankan keganasan tentera dan puak ekstremis Buddha.
Suu Kyi tidak boleh dibiarkan lepas tangan, bersandiwara dan memberikan pelbagai helah bagi mewajarkan penghapusan etnik Rohingya. Laporan penilaian terbaru PBB merumuskan kekejaman terhadap etnik Rohingya sebagai tidak boleh digambarkan, maknanya begitu dahsyat bagaikan tidak bertamadun. Mahkamah Tribunal Antarabangsa Mengenai Rohingya memutuskan kerajaan Myanmar didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai- ramai ke atas etnik tersebut. Hakikatnya Suu Kyi wajar diheret ke mahkamah antarabangsa bersama- sama pemimpin junta tentera dan pemimpin ekstremis Buddha Myanmar khususnya Ashon Wirathuz. Maka tidak mengejutkan apabila universiti tersohor, Oxford University menurunkan gambar Suu Kyi sebagai membantah sikapnya, yang merupakan mesej jelas kepada dunia.
Awang setuju sangat tindakan itu malah patut dilucutkan anugerah Nobel Keamanan yang diterimanya dulu. Suu Kyi yang dipenjara dan ditindas tidak sama apabila sudah di puncak kuasa, yang menyerlahkan belang sebenar.
Satu lagi tindakan yang membuka mata adalah keputusan Putera Henry untuk membatalkan kunjungan ke Myanmar dalam siri lawatannya ke Malaysia, Singapura dan India. Britain turut gantung latihan tentera dengan Myanmar. Awang jangkakan tekanan ke atas Myanmar akan makin meningkat. Kini yang pasti, daripada seorang yang pernah dijulang masyarakat dunia, Suu Kyi sangat terhina bersama kerajaan yang dipimpinnya. Haiwan lebih mulia.
Satu lagi tindakan yang membuka mata adalah keputusan Putera Henry untuk membatalkan kunjungan ke Myanmar dalam siri lawatannya ke Malaysia, Singapura dan India. Britain turut gantung latihan tentera dengan Myanmar. Awang jangkakan tekanan ke atas Myanmar akan makin meningkat. Kini yang pasti, daripada seorang yang pernah dijulang masyarakat dunia, Suu Kyi sangat terhina bersama kerajaan yang dipimpinnya. Haiwan lebih mulia.
Impak PPIM
Sekali lagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuktikan pengaruh dan keberkesanannya dalam memerangi penipuan dan kemungkaran. Terbaru, PPIM mendedahkan sindiket penipuan jualan banglo yang menggemparkan orang ramai. Ekoran itu, Pengarah Urusan DBI, Noruliman A. Rahman atau dikenali Boy Iman bersama dua individu lagi telah ditahan polis dan direman.
Ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut dengan sekurang-kurangnya 201 aduan polis telah dibuat. Minggu ini juga menyaksikan PPIM mendedahkan kira-kira 80,000 usahawan termasuk artis popular yang didakwa ditipu dengan nilai mencecah RM1 bilion dalam skim pelaburan berkonsep francais.
Awang ucapkan tahniah. Ternyata PPIM di bawah pimpinan ketua aktivisnya, Nadzim Johan dengan dibantu Yusuf Azmi, tidak pernah penat membantu masyarakat biarpun kerap disalah ertikan malah adakalanya tidak disenangi agensi penguat kuasa serta diugut penjenayah. Atas keberanian dan keyakinan, juga impak PPIM, Awang tabik hormat.
Realiti dan misteri
Apabila kerajaan Australia memohon maaf kerana gagal menemukan pesawat MH370 sekali gus belum dapat meleraikan misteri kehilangan pesawat itu, Awang turut tersentuh. Memang sedih dan bingung memikirkan misteri tersebut selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014. Teknologi penerbangan termasuk sistem radar yang canggih selain kehebatan perisikan moden gagal mengesan MH370.
Kehilangan pesawat Boeing 777 membawa 239 penumpang yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China itu merupakan misteri penerbangan terbesar dunia. Australia yang mengetuai pencarian pesawat itu, Malaysia dan China menamatkan pencarian bernilai AS$160 juta (RM677 juta) pada Januari lalu selepas gagal menemukan sebarang kesan walaupun menerima bantahan daripada keluarga mangsa.
Pada Awang, kenyataan mohon maaf itu bukanlah bermakna semua negara terlibat serta badan penyiasat antarabangsa mahu menyerah kalah atau putus asa. Realitinya kehilangan MH370 begitu luar biasa menjadikan harapan terus kelam berdasarkan perkembangan yang ada. Pelbagai teori dan spekulasi dikaitkan termasuk konspirasi oleh kuasa besar sebagai puncanya. Namun Awang percaya segala- galanya berkemungkinan dan tiada yang mustahil untuk menemukan semula MH370 mahupun serpihannya. Usahlah berhenti berdoa.
Cukup, cukuplah
Gelombang kritikan terhadap Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Ahmad Ismail kembali lagi untuk kesekian kalinya. Makin banyak suara terutama menerusi laman sosial yang mahukan beliau berundur kerana kegagalan PSM sama ada dalam pembangunan sukan itu mahupun pencapaian di arena antarabangsa. Sebagaimana tulisan Awang minggu lalu, Ahmad telah menerajui PSM sejak 2002, yang menyaksikan prestasi pasukan negara terus merudum dan menuju nazak. Khamis lepas, Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Markiman Kobiran menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan Presiden PSM bagi menyuntik pembaharuan.
Awang menjangkakan ada beberapa lagi tokoh mahu mencabar Ahmad. Tempoh jawatan Presiden sekarang sudah pun berakhir namun perlembagaan PSM membolehkan ia ditangguhkan hingga 18 bulan. Yang pasti, kepimpinan Ahmad tidak lagi diperlukan oleh para peminat sukan rakyat itu dan Awang berharap beliau tahu membaca isyarat. Janganlah tunggu lama-lama kerana ia membawa mudarat kepada sukan tersebut dan imej negara. Jika dibuat bancian menerusi online, keputusannya pasti memalukan beliau. Sentimen ramai sekarang adalah Ahmad mesti bertanggungjawab atas kegagalan yang panjang. Sukan itu mahupun PSM bukan milik beliau, ia milik rakyat. Cukup, cukuplah…
Tragedi dan persepsi
Awang turut bersedih dengan serangan tembakan liar yang mengorbankan 58 orang dan mencederakan lebih 50 orang lagi di Las Vegas, Amerika Syarikat ( AS ) baru-baru ini. Tragedi menggemparkan itu menunjukkan serangan menggunakan senjata api pada acara dan majlis keramaian boleh menjadi pilihan baharu selain bom dan rempuhan nekad mati.
Awang berharap ia menjadi iktibar kepada masyarakat dunia agar lebih berwaspada dan lebih ke hadapan dalam menjangkakan ancaman seperti itu.
Awang berharap ia menjadi iktibar kepada masyarakat dunia agar lebih berwaspada dan lebih ke hadapan dalam menjangkakan ancaman seperti itu.
Dalam insiden di Las Vegas, individu yang melepaskan tembakan rambang itu telah dikenal pasti sebagai Stephen Paddock iaitu warga AS. Biarpun meragut korban yang besar, banyak pihak di Barat khususnya AS masih keberatan dan teragak-agak melabelkan ia sebagai perbuatan keganasan. Malah ada yang bagaikan tidak percaya bahawa pelakunya orang kulit putih dan bukan beragama Islam. Bayangkan jika tembakan itu dilakukan oleh seorang Islam maka dunia sepantas kilat akan digegarkan dengan laungan keganasan dan tindak balas luar biasa. Isunya adalah persepsi terhadap orang Islam dalam soal keganasan adalah amat buruk sehingga kelihatan tidak adil dan berat sebelah. Persepsi itu sendiri lebih ganas daripada jenayah keganasan.
No comments:
Post a Comment