Tuesday, October 3, 2017

4119) Lelaki Pukul, Dera Anak Kandung Ditahan – Harian Metro – 3/10/2017



Kunak: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul dan mendera dua anak kandungnya dengan memukul mangsa menggunakan penyodok pasir di rumahnya di Kampung Sungai Atas, semalam. Suspek berusia 40 tahun itu ditahan jam 11 pagi susulan dakwaan isterinya bahawa lelaki itu memukul anak mereka pada 2015 dan terbaru pada 19 September lalu.
Difahamkan, pasangan itu dalam proses perceraian sejak dua tahun lalu selepas berkahwin hampir 15 tahun dan mempunyai tiga anak berusia lima, sembilan dan 12 tahun. Wanita itu yang bekerja sebagai tukang cuci kedai di Kuala Lumpur berkata, dua daripada tiga anaknya itu dijaga suaminya di Sabah sepanjang dia bekerja di ibu kota.
Pada 19 September lalu, suspek dikatakan memukul anak perempuannya berusia 12 tahun dengan tangan kerana berang kanak-kanak itu keluar rumah dan terlupa menutup api nasi yang sedang ditanak hingga mengakibatkan nasi itu hangus serta hampir berlaku kebakaran.
Pada tarikh sama, suspek dikatakan memukul anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan penyodok pasir kerana tidak tahu kakaknya keluar rumah. Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku ada memukul dua anaknya tetapi menafikan kerap berbuat demikian.
“Berikutan itu, Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,”katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan polis, kedua-dua kanak-kanak terbabit cedera ringan pada bahagian tubuh. Jumaat lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Jumatiah Ahud, 34, yang mendakwa dua anaknya berusia sembilan dan 12 tahun dipukul suami. Kisahnya mendapat perhatian orang ramai termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum wanita itu pulang ke Sabah untuk menyelamatKan anaknya. Jumatiah turut merayu bantuan orang ramai untuk menyelamatkan tiga anaknya dan dibawa ke Kuala Lumpur.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL