KUALA LUMPUR; Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdepan ugutan daripada gabungan beberapa sindiket perjudian ekoran pendedahan mengenai aktiviti itu di media, baru-baru ini.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata sindiket perjudian berkenaan mengadakan perjumpaan antara mereka untuk mengenakan persatuan ini.
“Sejak PPIM ditubuhkan 20 tahun lalu, kita memang biasa terima ugutan tetapi untuk kali ini ia agak berlainan sedikit kerana ia membabitkan gabungan beberapa sindiket besar.
“Kami dapat tahu mereka mahu ajar PPIM,” katanya pada sidang media di Sembang-sembang Kafe, hari ini.
Nadzim berkata, PPIM tidak takut dengan ugutan itu kerana yakin dilindungi oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau akan ke Bukit Aman dalam masa terdekat untuk memberi maklumat dan keterangan berhubung perkara itu.
Katanya, dalam menangani isu ini, PPIM giat melakukan operasi membanteras pusat perjudian haram dan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
“Berdasarkan kajian KWP, dalam tempoh dua tahun ini jumlah pusat perjudian meningkat dari 600 premis kepada 3,000.
“Perkara ini membimbangkan kerana judi akan mengakibatkan kepincangan dalam keluarga dan kita perlu membendungnya.
“Kita berharap semua pihak dapat bekerjasama membanteras masalah ini. Sekarang adalah masa sesuai untuk melawan sindiket perjudian,” katanya.
No comments:
Post a Comment