“KAMI terkejut dengan pelbagai cacian netizen yang dilemparkan terhadap PPIM kononnya kami membantu membebaskan doktor gigi palsu.
“PPIM tidak pernah menyokong atau mengiktiraf perbuatannya dan isu mungkin timbul akibat disalah erti orang ramai yang tidak memahami fakta sebenar,” kata Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media, hari ini bagi menjelaskan isu doktor gigi palsu selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu didakwa membantu membebaskan gadis berkenaan serta mengumpul dana sehingga RM70,000 untuk membayar denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada 29 Julai lalu.
Menurut Nadzim, dia kesal dengan sikap masyarakat yang cenderung menghukum secara melulu sedangkan perkara sebenar tidak difahami dengan baik.
Katanya, usaha mengumpul dana seperti yang tular di media sosial juga tidak mempunyai kaitan dengan PPIM sebaliknya ia dilakukan oleh Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM).
“Mungkin terdapat kekeliruan antara PPIM dan PPEIM. Kita hanya berperanan dan terbabit memberi khidmat nasihat kepada keluarga dan peguamnya yang hadir bertemu PPIM, selepas hukuman dijatuhkan.
“PPIM tidak pernah meminta atau memberi bantuan kewangan seperti didakwa malah usaha mengumpul dana dilakukan oleh PPEIM. Sumbangan itu diberikan oleh sebuah kelab permotoran yang mengumpul wang atas bantuan orang ramai serta NGO lain,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, didenda RM70,000 oleh mahkamah atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjalankan khidmat memasang pendakap gigi secara haram.
Dia bagaimanapun dibebaskan selepas enam hari menjalani hukuman penjara apabila denda berkenaan dibayar dengan sumbangan yang disalurkan.
Selain itu, Nadzim berkata, sebagai sebuah NGO, pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu orang ramai yang tampil mendapatkan khidmat nasihat mereka.
“Bagi saya, tidak salah untuk membantu terutama apabila kami beroperasi sebagai sebuah NGO yang perlu bersedia menerima apa saja aduan orang ramai.
“Namun, kita juga mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam memberi ulasan di media sosial yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya
No comments:
Post a Comment