SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah cadangan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi mendakwa penubuhan jabatan tersebut tidak wajar kerana sekarang sebarang bentuk pembaharuan tidak diperlukan sebaliknya kerajan hanya perlu membuat penambahbaikan.
“Tidak perlu ditubuhkan jabatan baru sebab sudah banyak yang sedia ada, perkara ini sama seperti bangunan, tidak perlu dinaikkan bangunan baru tetapi membaik pulih bangunan lama.
“Dalam konteks ini, kita sudah ada banyak jabatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain. Jadi apa signifikannya penubuhan JITN?” soalnya dalam Facebook miliknya semalam.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Paul Low Seng Kuang menjelaskan cadangan penubuhan JITN bertujuan menerajui perubahan transformasi dalam bina upaya keinstitusian terutamanya di kalangan penjawat awam, untuk memulakan dan memacu perubahan dasar serta memperkukuhkan proses kerajaan.
Selain itu katanya, JITN yang dinaik taraf daripada Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri didakwa tidak akan mempunyai sebarang kuasa untuk mempengaruhi siasatan.
Sementara itu, Yusuf berkata, beliau meminta agar para pemimpin kerajaan Malaysia khususnya ‘bangun’ dari tidur yang panjang dan usah terlalu selesa hingga tidak lihat kesusahan rakyat.
“Hari ini, kalau pemimpin nak buat pembaikan, sepatutnya di SPRM lah. Lebih elok sekiranya tambah anggota dalam SPRM dan perangi rasuah habis-habisan,buatkan sistem atas talian di mana setiap ibu pejabat Polis, imigresen dan agensi penguatkuasaan diletakkan pegawai untuk elakkan rasuah.
“Lagipun, kalau kita buat jabatan baharu, siapa yang nak kawal mereka ini?” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment