Monday, October 2, 2017

4109) Tolong Mak Cik Kemas Rumah – Harian Metro – 30/9/17








Kuala Lumpur – Ubatkan saya, dan bantu kemas rumah. Itu rayuan seorang wanita warga emas, Zaidah Mansor, 67, yang hidup dalam longgokan sampah di rumah sendiri, kali terakhir dikemas tujuh tahun lalu. Pesara kerajaan itu tinggal sebatang kara di rumahnya di Ampang, dekat sini, selepas berpisah dengan suami 17 tahun lalu dan dalam tempoh itu juga dia menderita bengkak kaki yang memerlukan rawatan.


Melihat keadaan ruang tamu rumahnya yang penuh dengan timbunan sampah, tiada siapa menyangka ada orang tinggal di situ, malah hanya ada laluan cukup-cukup badan saja membolehkan dia bergerak setiap hari. Zaidah berkata, dia bukannya tidak mahu mengemas rumah, tetapi faktor kesihatan menyebabkan pergerakannya terbatas sehinggakan dia sendiri akhirnya terpaksa tinggal di atas timbunan plastik, kertas dan perkakas rumah.

“Sejak tinggal sendiri, saya sering sakit dan ada masanya langsung tidak boleh bergerak. “Lama kelamaan, rumah saya jadi seperti kawasan pelupusan sampah dan saya sudah tidak mampu untuk membuangnya. Saya pula sakit, jadi saya biarkanlah,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Zaidah berkata, tiada siapa mengetahui dia tinggal dalam keadaan begitu kerana pintu rumahnya sentiasa tertutup dan dia mengisi perut menerusi tempahan yang dibuat di restoran berhampiran melalui telefon. Menurutnya, dia sendiri tidak ingat apakah barangan yang ada di ruang tamu rumahnya kerana ia sudah “lenyap akibat timbunan sampah yang semakin banyak setiap hari. “Dulu waktu saya sihat, memanglah saya kemas, ini rumah saya.

Tapi bila jatuh sakit, saya terus terang, saya tak berdaya. Selepas beberapa tahun, inilah keadaannya,” katanya yang menerima kunjungan Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Di bahagian depan rumahnya terdapat lapan buah sangkar kucing, enam daripadanya kosong menyebabkan kawasan itu tidak boleh dilalui ditambah dengan pelbagai barangan lama tidak digunakan malah ada yang sudah reput.

Sementara di bahagian dalam, timbunan sampah kelihatan memenuhi ruang tamu rumah dan bahagian dapur serta tidak boleh dilalui sehinggakan Zaidah menjadikan bahagian kawasan depan rumah untuk menghirup udara segar setiap hari.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang penduduk yang tinggal berhampiran yang meminta bantuan untuk membantu Zaidah membersihkan rumahnya kerana dia tinggal bersendirian. Katanya, PPIM akan menghubungi wakil masyarakat setempat di kawasan itu untuk mengadakan gotong-royong membersihkan rumah berkenaan agar ia lebih selesa untuk diduduki. “Kita akan hantar sukarelawan PPIM juga. Mungkin proses itu akan mengambil sedikit masa, tapi kita akan bantu. Kita juga akan mendapatkan pengamal perubatan untuk membantu mengubati penyakitnya SCC22. tradisional,” katanya.








No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL