Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa polis menahan empat lagi `dalang’ penipuan jualan rumah selepas pelakon dan usahawan Boy Iman serta dua lagi individu diberkas kelmarin.
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Yusuf Azmi berkata, empat individu terbabit turut berperanan menguruskan pembiayaan duit dibayar oleh beratus mangsa sebelum ini.
Menurutnya, sehingga kini seramai 400 mangsa sudah membuat aduan kepada PPIM selepas mendakwa ditipu skim jualan rumah pada harga tidak munasabah itu.
“Saya melahirkan rasa syukur kerana tindakan sewajarnya sudah diambil pihak polis susulan penahanan tiga individu itu.
"Kami berharap polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dan dapat mengheret suspek ke muka pengadilan.
"PPIM juga berharap empat lagi suspek ditangkap. Mereka ini yang menguruskan pembiayaan duit berkenaan (pembelian rumah)," katanya.
Muhammad Yusuf berkata, PPIM juga meminta campur tangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) bagi memastikan isu berkenaan tidak diambil mudah oleh pihak tertentu.
"Isu ini perlu diambil serius kerana sindiket ini adalah sindiket penipuan terbesar di Malaysia ketika ini," katanya.
Pada 19 September lalu, PPIM mempertemukan Boy Iman selaku pemilik DBI Technology Sdn Bhd dengan kira-kira 100 pengadu dalam sebuah sidang media di Hotel De Palma Ampang.
Namun kegagalan Boy Iman hadir untuk bertemu pembeli rumah mencetuskan perbalahan antara isteri Boy Iman dengan beberapa wakil PPIM termasuk Yusuf Azmi.
No comments:
Post a Comment