Seorang pemilik rangkaian perjudian menjana pendapatan Sehingga RM16 juta sehari dan berselindung dengan rangkaian restoran bagi mengubah wang haram. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, individu yang dikenali sebagai Alex itu mempunyai pendapatan yang terlalu banyak hinggakan dia mudah “membeli” penguatkuasa dan membayar orang “besar” yang melindunginya daripada sebarang tindakan undang-undang.
“Bagi mengaburi tindakan perniagaan, Alex turut menjalankan
perniagaan restoran mewah terutamanya di sekitar Bukit Bintang sebagai salah
satu tempat mencuci duit tersebut agar tidak dihidu pihak berkuasa.
“Nilai RM10 juta hingga RM15 juta rasuah yang diberi kepada
penguatkuasa sebulan bukanlah satu nilai besar jika dibandingkan pendapatan
harian lebih-lebih lagi mereka turut dilindungi pegawai “besar” dalam agensi
penguatkuasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Mingguan Malaysia mendedahkan taktik sindiket
perjudian bernaung di bawah mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri serta
memberi rasuah kepada agensi penguat kuasa RM15 juta sebulan bagi melindungi
perniagaan mereka. Dalam pada itu, Nadzim berkata, nafas baharu dalam Polis
Diraja Malaysia (PDRM) mampu memberi kekuatan kepada agensi tersebut dalam
melaksanakan amanah untuk menumpaskan mereka yang merosakkan rakyat dan negara
dengan pelbagai perniagaan yang tidak bermoral.
“Jika pihak polis mahukan khidmat pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna, kami akan berikan kerjasama menjadi mata
dan telinga polis agar masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (UMM),
Datuk Azwanddin Hamzah berkata,
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menyiasat syarikat
yang perniagaannya dilihat tidak mendapat sambutan pelanggan tetapi berupaya
menjana pendapatan jutaan ringgit setiap bulan.
Menurutnya, terdapat perniagaan syarikat pinjaman berlesen,
kedai telefon, restoran, perabot dan sebagainya yang ditubuhkan untuk mencuci
wang haram daripada bisnes perjudian bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Tambahnya, LHDN perlu mengambil langkah proaktif dalam
mengesan dari mana dana tersebut datang dan mendedahkan dalang di sebalik
perniagaan itu yang berkaitan dengan premis perjudian dan pinjaman berlesen di
negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Azwanddin berkata, penglibatan pihak yang
bergelar Tan Sri dan Datuk Seri jelas menunjukkan perniagaan tersebut mempunyai
perancangan teratur dan berjaya membentuk satu kumpulan kartel dalam
menjalankan perniagaan judi haram. “Perkara ini berulang kali didedahkan NGO
tetapi bagaikan ada kekebalan yang melindungi sindiket judi daripada disentuh
pihak berkuasa untuk diambil sebarang tindakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment