KUALA LUMPUR 9 Okt. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan mereka terlibat secara langsung dalam membantu membebaskan ‘doktor gigi palsu’ seperti yang tular di media sosial.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan, persatuan itu tidak pernah menyokong atau mengiktiraf tindakan yang dilakukan individu berkenaan yang disifatkan bersalah dan berisko kepada pengguna.
Menurut Nadzim, PPIM tidak pernah mengumpul sebarang dana mahupun mempromosikan kutipan derma sehingga mencecah RM70,000 bagi membantu membebaskan wanita tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, persatuan itu hanya berperanan dalam memberikan khidmat nasihat kepada keluarga dan peguam wanita berkenaan yang hadir sendiri berjumpa dengannya selepas dijatuhi hukuman mahkamah.
“Kita sebenarnya tidak tahu apa yang jadi isu sebenarnya dan berasa kesal melihat komen-komen yang berniat jahat. Apa yang kita buat dan buktikan jika ada.
“Netizen termasuk golongan profesional di media sosial mengecam tanpa mengetahui isu sebenarnya. Jangan buat budaya Hang Nadim, kita kena ubah, kalau tidak negara akan hancur. Mungkin ini panggilan untuk lihat kembali apa yang tidak kena dalam diri kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan netizen di media sosial yang mndakwa kononnya PPIM membantu membebaskan seorang wanita yang dijatuhi hukuman denda kerana menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram, baru- baru ini.
Yang turut hadir Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM), Zamri Zaimon; Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim; Panel Penasihat Khas PPIM, Dr. Abdul Kadir Warsi Mohamed dan aktivis PPIM, Muhammad Zharif Johor.
Dalam pada itu, Nadzim memberitahu, persatuan itu tidak berniat membantu wanita berkenaan membuka klinik pergigian sebaliknya membantunya membuka perniagaan lain.
“Kita bukan hendak bantu dia buka klinik sebaliknya membantu dalam perkara lain. Isu ini masyarakat kena faham.
“Jangan lontarkan tuduhan secara tidak bertanggungjawab. Kena ingat supaya kita lebih bertanggungjawab dan disebabkan sifat sebeginilah isu dadah tidak selesai,” katanya.
Sementara itu, Zharif Johor berkata, sumbangan yang diterima wanita tersebut diberikan oleh sebuah kelab permotoran yang mengumpulkan wang daripada orang ramai serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami difahamkan kelab permotoran itu juga ada berkait dengan keluarga doktor gigi palsu tersebut.”
“Segala kutipan wang berkenaan tidak melibatkan PPIM sama sekali. Ini dilakukan PPEIM yang turut terlibat secara langsung dengan mempromosikan poster dan kutipan dana secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment