Kuala Lumpur : “Saya tak sampai hati melihat dia dalam keadaan begitu. Semuanya Allah SWT lorongkan selepas dia berjumpa saya dan menyatakan niat untuk berjumpa imam masjid dari Pakistan, dia tertarik dengan kemerduan bacaan al-Fatihah yang seakan-akan imam di Makkah.
“Sehinggalah imam itu menyatakan hasrat untuk berjumpa sendiri Zaidah Mansor dan menangis melihat keadaan rumah yang penuh sampah, itu juga mendorong saya untuk membantu wanita ini,” kata Rusdzi Abdul Razak, 54, individu yang bertanggungjawab membuat aduan mengenai kehidupan Zaidah kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Kisah Zaidah, 67, pernah dipaparkan di muka depan Harian Metro, Sabtu lalu yang merayu supaya ada pihak membantu membersihkan rumahnya di Ampang selepas hidup dalam longgokan sampah sejak tujuh tahun lalu.
Melihatkan keadaan ruang tamu rumahnya yang penuh dengan timbunan sampah, tiada siapa menyangka ada orang tinggal di situ.
Rusdzi berkata, dia akan melakukan apa saja untuk membantu pesara kerajaan itu yang dianggap seperti kakak sendiri.
“Selepas melakukan perbincangan dengan PPIM, kami dijangka membersihkan rumah Zaidah Ahad ini dibantu sukarelawan dan juga Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Kita akan mengeluarkan semua sampah dan membersihkan rumah berkenaan manakala Zaidah akan dihantar ke pusat rawatan sementara untuk mengubati kakinya yang bengkak,” katanya kepada Harian Metro.
Tegasnya, tujuan dia mendedahkan kisah Zaidah bukan untuk mengaibkan, tetapi sebagai pengajaran dan juga membuka mata masyarakat sekitar supaya mengambil peduli jiran tetangga.
Katanya, kali pertama menjejakkan kaki ke rumah Zaidah, dia langsung tidak menyangka ada orang yang tinggal bersama longgokan sampah-sarap yang menimbun dalam rumah gelap seorang diri.
“Rumah Zaidah juga mengalami kerosakan sistem pendawaian dan setiap hari hidupnya bergelap tanpa elektrik, bayangkan di tengah ibu kota masih ada lagi yang hidup susah,” katanya.
No comments:
Post a Comment