KUALA LUMPUR 24 April – Satu sistem pengesahan mengenai semua maklumat penjual dalam talian perlu diwujudkan bagi mengelakkan pengguna terus tertipu.
Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sistem pengesahan mengenai semua maklumat peribadi penjual menerusi laman web dalam talian boleh dikendalikan oleh mana-mana pihak bertanggungjawab.
“Usaha tersebut perlu diambil segera sebagai langkah keselamatan daripada berlakunya eksploitasi dan aktiviti penipuan siber ke atas pengguna laman web beli-belah dalam talian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 100 kes penipuan jual beli barangan secara dalam talian dicatatkan setiap minggu sejak awal tahun ini membabitkan kerugian puluhan juta ringgit.
Siasatan mendapati, jenayah itu dilakukan sindiket selain individu yang menggunakan laman web seperti mudah.my dan lelong.my sebagai platform untuk menipu mangsa.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pihak pengurusan portal perlu memastikan butiran lengkap peribadi diberi oleh pendaftar atau penjual laman web mereka adalah benar.
“Pastikan para penjual boleh dipercayai. Sekiranya maklumat serta data yang diberikan mencurigakan, pihak portal boleh segera mengharamkan pendaftaran,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment