Kisah lima sekeluarga tarik perhatian MP
SHAH ALAM – Kisah lima sekeluarga yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana mencuri barangan kosmetik bernilai RM2,000 mendapat perhatian Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Rohaya A Rahman, 57 serta tiga anaknya, Maimunah Che Abdullah, 26, Noriza, 30, Nurul Fatihah, 19 dan menantunya Zariah Zakariya, 37, didakwa mencuri di sebuah kedai di Bandar Tenggara pada jam 11.40 pagi 17 Jun tahun lalu, tetapi dengan rela hati tanpa sebarang desakan telah cuba memulangkan semula barang tersebut.
“Sebenarnya atas dasar kemanusiaan dan ihsan, pihak pendakwaraya sebaiknya menerima niat baik kelima-lima orang mereka yang bersedia memberi semula barangan yang diambil.
“Saya akan menulis kepada peguam negara bagi mendapatkan maklumbalas terkini dan memohon belas kasihan buat anak-beranak yang seharusnya diberi peluang kedua kerana keterdesakan hidup,” kata Nurul Izzah kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang prihatin akan kes ini dan memohon sokongan orang ramai mendoakan yang terbaik buat keluarga ini.
Tambahnya, bayangkan, dalam keadaan sedemikian, tidakkah ada semangat manusiawi dalam melunaskan keadilan sosial buat semua tertuduh.
“Yang kita mahukan adalah keinsafan, bukan pemerasan kepada mereka yang dalam kesempitan hidup,” katanya.
Dikatakan, lima sekeluarga tersebut telah cuba memulangkan semula barang tersebut pada keesokan harinya.
Namun pemilik kedai menuntut RM13,000 sebagai ganti rugi sekiranya mahu laporan polis ditarik balik.
Bagaimanapun, kesemua mereka ditangkap dan telah dikenakan hukuman.
Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru Yang Arif Datuk Mohd Sofian Tan Sri Abdul Razak telah membenarkan rayuan sekali gus mengenepikan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi dan menggantikannya dengan bon jaminan berkelakuan baik selama satu tahun di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah dengan jaminan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Ia atas alasan tiada kerugian yang dialami pengadu dan memandangkan salah seorang tertuduh pada ketika hukuman penjara dijatuhkan sedang mengandung enam bulan.
Seminggu selepas keputusan itu, pihak pendakwaraya telah memfailkan satu Notis Rayuan ke Mahkamah Rayan Malaysia kerana masih lagi tidak berpuas hati terhadap kjeputusan yang diberikan.
21 Jun tahun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ibu tunggal bersama tiga orang anak serta seorang menantunya hanya mampu menangis selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun apabila mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana mencuri barangan kosmetik.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkah hukuman berkenaan selepas kelima-lima mereka mengaku bersalah di atas pertuduhan mencuri 17 produk kosmetik bernilai RM2,171.50 milik perniagaan Herba Sri Tanjung Sdn Bhd.
Sumber Dari:
http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/kisah-lima-sekeluarga-tarik-perhatian-mp-1.657875
No comments:
Post a Comment