KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan segera laksanakan program subsidi petrol bagi memastikan tiada hasil negara yang dirompak secara terbuka.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata setiap hari pengguna melaporkan kes kenderaan negara jiran mengisi petrol bersubsidi di negeri-negeri berhampiran sempadan negara.
Lebih mengejutkan kes terbaru yang melibatkan seorang penghantar barangan dan makanan dikenakan tindakan gantung tugas kerana merakam dan menularkan perbuatan biadab warga asing yang cuba mengisi minyak petrol bersubsidi ke dalam tong.
"Bukan sahaja tidak ada tindakan langsung dari Kerajaan Malaysia terhadap pelaku, malah warganegara yang setia mempertahankan hak negara dipersalahkan dan digantung kerja sehingga menjejas pendapatannya, dimana maruah kita sebagai sebuah negara?" tegas Nadzim.
Nadzim turut mempersoal keberkesanan pihak berkuasa yang terlibat.
"Adakah pihak berwajib kita sudah tidak ada rasa sayang dan cintakan negara lagi? Bersusah payah barisan hadapan negara menjaga keamanan negara, warga asing boleh suka-suka merompak harta kita?" katanya.
Sebelum ini tular di media sosial, video yang memaparkan seorang lelaki penghantar makanan dan barangan menegur dua lelaki dipercayai warga asing mengisi petrol bersubsidi RON95 ke dalam tong.
Namun, tindakan lelaki itu telah mencetus pertengkaran mulut antara mereka dan di dalam video tersebut seorang daripada lelaki itu mengeluarkan besi dipercayai untuk mengugut pengadu.
Polis bagaimanapun berkata kejadian itu satu salah faham kerana warga asing tersebut mengisi minyak untuk kenderaan jenis Go-Kart.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box di sini pada jam 8.37 malam,16 Jun lalu.
Nadzim mempersoalkan samada itu dibenarkan dan bagaimana untuk memastikan warga asing tidak menyeludup petrol bersubsidi itu keluar negara.
No comments:
Post a Comment