Wednesday, June 21, 2023

MENGAPA AHLI PARLIMEN KELU LIDAH PERJUANG KEPENTINGAN RAKYAT? - KENYATAAN MEDIA PPIM - 20/06/2023

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoal mengapa ahli-ahli parlimen yang berkhidmat untuk rakyat amat kelu lidah mereka dan tidak menggunakan hak sepenuhnya di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM melihat tindakan ahli parlimen yang memilih untuk membisu dan tidak mempersoalkan banyak perkara di dalam sidang Parlimen amat membimbangkan.

"Apa fungsi mereka sebagai ahli parlimen sebenarnya jika bukan untuk membawa suara rakyat, mengapa mereka (ahli parlimen) tidak menggunakan semua hak yang ada pada mereka untuk membahaskan atau bertanya di dewan perkara yang melibatkan kepentingan rakyat seperti perincian kontrak vaksin antara Pharmaniaga dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Tambah Nadzim, rakyat mahukan perkara itu didedahkan sepenuhnya kerana perkara itu membabitkan wang rakyat berbilion ringgit dan kesihatan serta nyawa rakyat.

"Saya bersetuju dengan Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi yang menyatakan tindakan menyembunyikan dokumen bawah NDA daripada Parlimen merupakan penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi, kerana perlembagaan memberikan keistimewaan kepada dua dewan Parlimen,"

"Apa yang mereka takutkan, apa yang mereka risaukan, sudah menjadi tugas mereka membawa suara rakyat dan beri penjelasan, bukan menyembunyikan perkara sebesar ini," katanya.

Nadzim berkata rakyat memilih Ahli Parlimen yang ada kini untuk bekerja untuk rakyat dan bukan sekadar menjadi perhiasan di dewan Parlimen semata-mata.

"Mereka mempunyai hak untuk menuntut pendedahan penuh perjanjian vaksin antara Pharmaniaga dan Kementerian Kesihatan, mengapa diam sahaja tidak menegakkan hak itu sedangkan rakyat sentiasa bertanya mengenai perkara itu," katanya.

Menurut Nadzim, antara perkara yang amat merisaukan rakyat ialah bagaimana bekas Ketua Pengarah Kesihatan yang diangkat sebagai wira negara menentang Covid-19 dengan sengaja sembunyikan fakta mengenai 1239 AEFI & AESI daripada rakyat.

"Sedarkah Ahli Yang Berhormat itu semua, tindakan mereka itu menjadikan borang informed consent yang ditanda tangani rakyat tak sah, Tan Sri Noor Hisham, YB Khairy Jamaluddin bekas ahli parlimen Rembau ketika itu, dan Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang masih merupakan ahli Parlimen Pagoh wajib dipertanggungjawabkan ke atas perkara ini," tegasnya.

Semalam, Shad memberitahu media Ahli Parlimen berhak menuntut pendedahan perjanjian tersebut.

“Salah satu keistimewaan Parlimen yang terkenal ialah Parlimen boleh menghukum sesiapa sahaja kerana menghina dewan. Terdapat preseden kes seperti ini di Australia.

“Kontrak antara pembekal vaksin Covid-19 dan kerajaan hari ini adalah kontrak antara mereka berdua.

“Penegasan bahawa perjanjian tanpa pendedahan (NDA) memerlukan perjanjian itu dirahsiakan daripada Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak mempunyai asas perlembagaan dan merupakan penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA),” kata Shad.

“NDA tidak boleh menghalang PAC, polis, ketua juruaudit negara dan ahli parlimen daripada menuntut maklumat kerana mereka melaksanakan tugas mereka di bawah undang-undang.

“Malah, OSA tidak terpakai di Parlimen kerana ahli parlimen yang menggunakan kebebasan bersuara semasa prosiding benar-benar kebal daripada semua undang-undang, kecuali Akta Hasutan,” kata Shad.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...