Tuesday, June 20, 2023

HASRAT BUDAK PESAKIT KANSER NAIK HARLEY DAVIDSON TERCAPAI - HARIAN METRO - 20/06/2023

 

Kuala Lumpur: Hasrat kanak-kanak Muhammad Farrel, 12, yang menghidapi kanser tulang tahap empat untuk menaiki motosikal Harley Davidson tercapai, hari ini.

Bapanya, Mohammad Fetri Abu, 44, berkata, anaknya itu menyuarakan hasratnya untuk menaiki motor berkenaan sebulan yang lalu selepas menontonnya di YouTube.

"Dia beritahu kepada kami nak naik motosikal Harley Davidson selepas menontonnya di YouTube. 

Alhamdulillah hari ini kesihatan dia ok dan boleh menaiki motosikal walaupun malam tadi dia memaklumkan kepada kami berasa pening serta sakit-sakit badan.

"Selain itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga banyak bantu dan cuba merealisasikan apa yang anak saya nak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program kemanusiaan 'Humanity Charity Ride 2023' di sini, hari ini.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kingz Motocycle Group dan Media Prima Berhad.

Mengulas lanjut, Mohammad Fetri yang merupakan pengusaha pusat tahfiz berkata, anaknya itu disahkan menghidapi kanser tulang tahap empat pada November tahun lalu.

"Bulan November itu dia mula sakit selepas balik dari sekolah dan mengadu ada terlanggar kawan. Selepas itu kami memberinya ubat biasa seperti tahan sakit tapi tak sembuh.

"Bila doktor buat X-Ray nampak sesuatu yang bukan patah tulang tetapi seperti ketumbuhan.

"Untuk mengesahkan lagi perkara itu, doktor meminta kami pergi ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dan dia disahkan menghidapi kanser tulang tahap empat. Selepas itu dia mula membuat kimoterapi," katanya.


Dalam pada itu, Pengasas Kingz Motocycle Group, Azulhairi Berkhanuddin berkata, pihaknya mengetahui minat Muhammad Farrel yang merupakan pesakit kanser tulang tahap empat untuk menaiki motosikal Harley Davidson menerusi TikTok.

Disebabkan itu, beliau bersama-sama 29 pemilik motosikal Harley Davidson yang lain mahu membawa murid tahun enam itu meronda sekitar ibu negara pada hari ini.

"Kita mahu membawa Muhammad Farrel sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi impiannya," katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, program yang dianjurkan oleh pihaknya adalah bagi menyantuni dan memberi semangat kepada Muhammad Farrel yang mahu menaiki motosikal Harley Davidson.

Nadzim berkata, dengan usaha yang dilakukan ini, pihaknya berharap ia dapat memberi kekuatan kepada Muhammad Farrel untuk berjuang melawan penyakit yang dihidapinya sejak penghujung tahun lalu.


Artikel oleh: Harian Metro

HASRAT BUDAK PESAKIT KANSER NAIK HARLEY DAVIDSON TERCAPAI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/978589/hasrat-budak-pesakit-kanser-naik-harley-davidson-tercapai

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL