Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil mempersoal sikap ahli-ahli Parlimen yang didakwanya "kelu lidah" dan tidak menggunakan hak sepenuhnya untuk bersuara di Parlimen.
Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata situasi itu sebagai amat membimbangkan.
"Apa fungsi mereka sebagai ahli parlimen sebenarnya jika bukan untuk membawa suara rakyat?
"Mengapa mereka (ahli parlimen) tidak menggunakan semua hak yang ada pada mereka untuk membahaskan atau bertanya perkara yang melibatkan kepentingan rakyat seperti perincian kontrak vaksin antara Pharmaniaga dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nadzim merujuk kenyataan pakar perlembangaan Shad Saleem Faruqi menuntut kontrak vaksin antara Pharmaniaga dan KKM didedahkan.
Menurut Free Malaysia Today hari ini, Shad Saleem berkata ahli parlimen berhak menuntut kontrak itu didedahkan sepenuhnya walaupun ia dibuat dengan perjanjian kerahsiaan (NDA).
Dia berkata penegasan berkenaan perjanjian itu dirahsiakan daripada Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tiada asas perlembagaan dan penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi.
“Malah Akta Rahsia Rasmi tidak terpakai di Parlimen kerana Ahli Parlimen yang menggunakan kebebasan bersuara semasa prosiding kebal sepenuhnya daripada semua undang-undang, kecuali Akta Hasutan,” kata Shad seperti dipetik.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad membangkitkan mengenai keperluan untuk mendedahkan kos sebenar berkaitan kontrak vaksin.
Dia juga menuntut PAC menyiasat kos sebenar vaksin Covid-19 Pharmaniaga Berhad yang dibeli oleh Putrajaya.
“Saya tahu bahawa perjanjian tanpa pendedahan (NDA) adalah sesuatu yang mesti kita patuhi tetapi saya fikir, untuk PAC, ia harus didedahkan," katanya di Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu.
Sementara itu Nadzim berkata rakyat mahukan perkara itu didedahkan sepenuhnya kerana ia membabitkan dana berbilion ringgit dan kesihatan rakyat.
"Saya bersetuju dengan Shad Saleem yang menyatakan tindakan menyembunyikan dokumen bawah NDA daripada Parlimen merupakan penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi, kerana perlembagaan memberikan keistimewaan kepada dua dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara).
"Apa yang mereka takutkan, apa yang mereka risaukan? Sudah menjadi tugas mereka membawa suara rakyat dan beri penjelasan, bukan menyembunyikan perkara sebesar ini," katanya lagi.
Artikel oleh: Malaysia Kini
PPIM BIDAS WAKIL RAKYAT 'KELU LIDAH' DI PARLIMEN
No comments:
Post a Comment