Wednesday, June 28, 2023

PENGGUNA KHUATIR KANDUNGAN 'ETHYLENE OXIDE' DALAM COVID-19 TEST KIT - BULETIN TV3 - 26/06/2023

 

KUALA LUMPUR: Tahap keselamatan penggunaan bahan ujian saringan COVID-19 yang mengandungi Ethylene Oxide masih menjadi tanda tanya sesetengah pihak.

Mana tidaknya, bahan itu turut dikenali sebagai kandungan beracun yang dipercayai boleh merosakkan DNA dan menyumbang kepada penyakit berbahaya antaranya kanser, leukimia, kesukaran bernafas, sawan serta sakit termasuk sakit kepala.

Perkara itu mendapat perhatian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas kerap menerima aduan daripada orang ramai mengenai penggunaan bahan terbabit ketika melakukan ujian saringan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ramai pengadu tampil membawa kotak ujian saringan COVID-19 yang terpampang mempunyai kandungan bahan berkenaan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

“Penjelasan lebih terperinci daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada orang ramai perlu diberikan terutama mengenai tatacara atau panduan penggunaan bahan terbabit dengan cara yang betul dan selamat.

“Banyak kajian telah dilakukan dan terbukti bahan berkenaan berisiko mengancam nyawa dan amat membahayakan pekerja terutama dalam industri kimia.

“Malah, orang ramai atau pesakit juga terdedah kepada bahaya sekiranya berlaku kecuaian atau ketidakmahiran kakitangan perubatan ketika melakukan prosedur penggunaan bahan terbabit,” katanya kepada Buletin TV3.

Sementara itu, Pakar Perubatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun ketika dihubungi berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ethylene oxide yang digunakan dalam peralatan perubatan ujian saringan COVID 19, adalah satu jumlah kimia yang tidak merbahaya kepada sistem badan

Pakar Perubatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun

“Ianya berbeza kerana ethylene oxide memberi kesan sampingan sekiranya ia ditelan atau dimakan.. kalau kita letak dalam makanan dan dimakan  dalam jumlah yang banyak dan kuantiti yang tinggi ia akan memberi kesan kepada badan.

“Tetapi jika ia digunakan sebagai alat perubatan, setakat melakukan ujian saringan untuk covid 19 diletakkan di dalam hidung atau diletakkan dalam sample air liur..ianya tidak memudaratkan kerana kita tidak telan atau tidak makan ethylene oxide tersebut,” katanya.


Artikel oleh: Buletin TV3

PENGGUNA KHUATIR KANDUNGAN 'ETHYLENE OXIDE' DALAM COVID-19 TEST KIT

https://www.buletintv3.my/nasional/pengguna-khuatir-kandungan-ethylene-oxide-dalam-covid-19-test-kit/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...