Friday, June 23, 2023

PPIM PERSOAL KEBERKESANAN PIHAK BERKUASA PASTIKAN PETROL SUBSIDI TIDAK DIGUNA KENDERAAN ASING - MALAYSIA GAZETTE - 23/06/2023

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan keberkesanan pihak berkuasa memastikan petrol bersubsidi tidak digunakan oleh kenderaan negara jiran, sekali gus membuka ruang penyeludupan.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, setiap hari pengguna melaporkan kes kenderaan negara jiran mengisi petrol bersubsidi di negeri-negeri berhampiran sempadan negara.

Malah menurut beliau, lebih mengejutkan kes terbaru yang melibatkan seorang penghantar barangan dan makanan dikenakan tindakan gantung tugas kerana merakam dan menularkan perbuatan biadab warga asing yang cuba mengisi minyak petrol bersubsidi ke dalam tong.

“Adakah pihak berwajib kita sudah tidak ada rasa sayang dan cintakan negara lagi? Bersusah payah barisan hadapan negara menjaga keamanan negara, warga asing boleh suka-suka merompak harta kita?” soalnya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan segera laksanakan program subsidi petrol yang berkesan bagi memastikan tiada hasil negara yang dirompak secara terbuka.

“Bukan sahaja tidak ada tindakan langsung dari Kerajaan Malaysia terhadap pelaku, malah warganegara yang setia mempertahankan hak negara dipersalahkan dan digantung kerja sehingga menjejas pendapatannya, di mana maruah kita sebagai sebuah negara?” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, video yang memaparkan seorang lelaki penghantar makanan dan barangan menegur dua lelaki dipercayai warga asing mengisi petrol bersubsidi RON95 ke dalam tong.

Tindakan lelaki berkenaan kemudian mencetus pertengkaran mulut antara mereka dan di dalam video tersebut seorang daripada lelaki itu mengeluarkan besi dipercayai untuk mengugut pengadu.

Polis bagaimanapun berkata, kejadian itu satu salah faham kerana warga asing tersebut mengisi minyak untuk kenderaan jenis Go-Kart.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box di sini pada jam 8.37 malam,16 Jun lalu. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM PERSOAL KEBERKESANAN PIHAK BERKUASA PASTIKAN PETROL SUBSIDI TIDAK DIGUNA KENDERAAN ASING

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...